Veteran UMNO Digalak Kongsi Pengalaman, Eratkan Hubungan Sesama Ahli

BENTONG, 24 Julai – Pengalaman panjang yang dimiliki oleh Veteran UMNO Malaysia sama ada di bahagian, negeri dan pusat boleh dikongsikan kepada generasi hari ini yang sentiasa dahagakan ilmu dan pengalaman.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, generasi berharga seperti Veteran UMNO tahu apa yang sedang berlaku atas pengalaman yang ada.

“Kombinasi yang lama dan baru itu perlu ada dan tidak boleh ditinggalkan. Veteran UMNO ini boleh memberi nasihat dan pandangan. Sebab itu kita perlu memberikan pengiktirafan kepada Veteran UMNO.

“Dalam bahagian saya di Padang Terap, ada 57 bekas ketua cawangan yang masih hidup. Sebab itu perlu ada orang yang tolong tengok-tengokkan mereka dan setidak-tidaknya mereka datang kepada Veteran UMNO.

“Sebab itu saya katakan Veteran UMNO mesti diiktiraf. Saya akan bawakan isu ini kepada pengurusan minggu depan,” katanya semasa perasmian penutup Konvensyen Nasional Veteran UMNO Malaysia di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mahdzir turut menyentuh berkenaan kerjasama dalam parti untuk menuju kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Biarlah Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri untuk berbincang dan perdana menteri akan sesuaikan masa. Perkara ini ada kaitan dengan nak jadi kerajaan lagi selepas ini.

“Bila nak jadi kerajaan kena menang pilihan raya. Nak menang, kita semua kena terlibat secara langsung. Kita nak buat macam mana?

“Satu nak menang, satu lagi nak ambil sokongan. Dalam masa sama, kumpulan sebelah sana pun ada agenda nak jadi kerajaan sekali lagi. PKR, Dap, Amanah satu geng. Di luar tu ada lagi, Pejuang, Warisan, Muda,” katanya.

Tambah Mahdzir lagi, untuk menang dan bentuk kerajaan semasa PRU-15, tidak boleh ada adu domba dalam parti.

“Kita tak boleh ada adu domba dalam parti. Tolong nasihat di peringkat dan bermusyawarahlah sebab kalau kita masih ada adu domba, saya fikir UMNO tak boleh dapat kerusi yang kita mahukan.

“Apa yang berlaku pada 2018 semua dah tahu. Dua tahun Tun Mahathir nyanyikan satu lagu sahaja, akhirnya bukan pengundi sahaja tetapi ahli UMNO turut menyebelahi Tun Mahathir. Adakah akan datang lagi bentuk sebegitu dalam PRU-15? Percayalah mereka sedang mencari jalan untuk menjadi kerajaan semula.

“Kita ada di luar sana kumpulan yang menentang kita, masih berselerak dan belum bersatu. Kita perlu ada strategi taktikal. Namun cara kehadiran Veteran UMNO di sini luar biasa. Maknanya ianya datang daripada semangat kita. Kita nampak sudah bersedia untuk pilihan raya,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.