PPBM Jagalah Parti Sendiri Yang Tengah Sakit, Eloknya Jangan Malas Baca Isi

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Terengganu, Armi Irzan Mohd membidas Ketua PPBM negeri terbabit, Razali Idris yang mempersoalkan berkaitan pindaan Perlembagaan UMNO.

Hal tersebut adalah berhubung dengan kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan bahawa Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) perlu utamakan kehendak ahli UMNO.

Dalam hal ini Armi mempersoalkan Razali yang juga seorang Senator tentang peranan Ros.

“YB Senator tak tahu ke peranan RoS? Antara peranan RoS ialah untuk menjaga kepentingan dan hak ahli sesebuah pertubuhan.

“Usul ini tidak bermula dari kepimpinan tertinggi parti, ia bermula daripada akar umbi. Dipersetujui oleh hampir 2,000 perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO dan diabsahkan di Perhimpunan Agung UMNO Khas,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya.

Tegas Armi, ini adalah hal dalaman UMNO dan permintaan oleh ahli UMNO.

“RoS ditubuhkan untuk melindungi hak ahli sesebuah pertubuhan. Dalam hal ini, ahli UMNO meminta agar pindaan Perlembagaan dilaksanakan supaya pemilihan parti diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

“YB Senator elok tumpukan usaha kepada hal parti sendiri. Dalam sebulan ini, dah berapa ramai ahli Bersatu lompat keluar? Tak sedar ke? Biar UMNO uruskan hal parti sendiri,” katanya lagi.

Terdahulu, Shahril menuntut agar RoS mengutamakan peranan ahlinya untuk menjaga kepentingan sesuatu pertubuhan.

Ini kerana katanya, UMNO sudah melaksanakan syarat yang diperlukan untuk meminda perlembagaan parti, sudah melaksanakan mesyuarat perwakilan bahagian, sudah mengadakan Perhimpunan Agung UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO Khas. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit