Muhyiddin Harus Bantu PM Demi Rakyat, Bukan Desak Jawatan TPM Yang Tidak Perlu – Azhari Shaari

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sepatutnya mendesak jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, sewajarnya Muhyiddin membantu Perdana Menteri bagi menyelesaikan kesulitan rakyat berdepan kos sara hidup yang tinggi kerana beliau berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin ini sepatutnya orang yang berpengalaman dalam kerajaan membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dari UMNO untuk menyelesaikan kenaikan harga barang, bukannya menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri yang tidak ada keperluannya buat masa kini.

“Jangan beri bebanan kepada Perdana Menteri dengan tuntutan jawatan tersebut pada hal jawatan yang disandang sekarang ini ‘gagal’ untuk menyelesaikan masalah rakyat. Simpan dulu hasrat dan lebih baik semua parti Keluarga Malaysia fokus masalah rakyat.

“Saya nampak tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah tidak relevan dan tidak perlu buat masa sekarang ini dan sekarang ini di ambang menghadapi Pilihan Raya Umum. UMNO sebenarnya sudah bersedia menghadapi pilihan raya seberapa segera,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Katanya lagi, jawatan yang Muhyiddin sandang sekarang ini adalah Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) namun tidak ada apa tindakan ataupun langkah proaktif dan ‘reaction’ oleh beliau.

“Persoalannya, hari ini hendak menuntut jawatan yang lebih besar lagi iaitu Timbalan Perdana Menteri. Apa peranan MPN?”

“Sebenarnya peranan MPN adalah membantu dari segi menyelesaikan isu kenaikan harga barang dan jika betul pun pada siapa yang hendak beri jawatan Timbalan Perdana Menteri itu?

“Jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya untuk dua, tiga bulan untuk apa fungsinya? Tidak akan beri manfaat besar bantu rakyat,” ujarnya.

Justeru katanya lagi, sekiranya PPBM hanya mahu memperlambatkan Pilihan Raya Umum sudah pasti tidak akan berlaku kerana rakyat hendak pilihan raya diadakan secepatnya.

“Kalau itu niat mereka (PPBM) untuk memperlambatkan pilihan raya tapi ini tidak akan berlaku kerana ini keputusan dari peringkat Majlis Tertinggi UMNO dan persidangan khas bahawa pilihan raya mesti diadakan sebelum pemilihan UMNO.

“Kalau jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya ingin memperlambatkan pilihan raya ianya tidak semudah itu sekiranya itu adalah strategi PPBM,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.