Isu Perjanjian Persefahaman Hanya Propaganda Murahan, Kekalkan Semangat Juang UMNO
KUALA LUMPUR, 12 Julai – Ketua Pemuda UMNO Damansara, Amin Mohd Shukor berkata kisah tularnya perjanjian persefahaman yang dibuat oleh Perdana Menteri Keluarga Malaysia pada tahun 2021 yang kononnya telah melanggar perlembagaan tertentu parti dan perlu diambil tindakan hanya satu ‘propaganda murahan’.
Ujarnya, ia yang sengaja ditimbulkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan disusun plot kisahnya demi meraih publisiti supaya mereka ini sentiasa dilihat ‘releven dalam pasaran’.
“Walaupun propaganda ini sengaja dimainkan, yang saya lihat perlaksanaan dan adaptasi halatuju YAB PM masih kekal utuh menjiwai semangat juang UMNO sepenuhnya dan tidak sedikitpun terpesong dari landasannya.
“Dalam situasi semasa, pelbagai segmen dalam negara hari ini sedang memulih dan YAB Perdana Menteri Keluarga Malaysia Dari UMNO ini sedang bekerja keras siang malam memartabat negara memanfaat rakyat.
“Seharusnya ‘mereka-mereka’ ini perlu menjadi lebih konstruktif dalam memberikan pandangan serta idea kepada kerajaan, manalah tahu mungkin idea pandangan yang mampu memanfaatkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas Amin, inisiatif yang pelbagai sedang dilaksanakan oleh PM Keluarga Malaysia adalah bagi memartabatkan kebajikan rakyat.
“Kini bukan masa yang sesuai untuk ‘berdrama’ tak tentu hala, apatah lagi untuk mengambil kesempatan dengan tujuan kepentingan-kepentingan tertentu khusus bagi mungkin orang-orang tertentu, kerana sekarang ini masanya untuk bekerja untuk rakyat.
“Kita juga perlu berlaku adil dalam menilai, situasi untuk bangkit dari kesan pandemik ini bukan satu perkara mudah dan ianya bukan ‘kerja satu malam’.
“Sungguhpun begitu, kerajaan Keluarga Malaysia perlu lebih terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, walaupun kerjasama itu hanya melibatkan percambahan minda serta sumbang saran semata,” katanya lagi. – UMNO Online