Muhyiddin Elok Letak Jawatan, Tiada Fungsi Sebagai Pengerusi MPN – Syed Mohd

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri hari ini mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Beliau berkata ini kerana Muhyiddin ternyata gagal dalam memulihkan ekonomi negara sehinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu kerajaan menangani cabaran peningkatan kos sara hidup.

“… yang patut didesak letak jawatan adalah Pengerusi MPN, Muhyiddin yang telah terbukti gagal dan MPN perlu dibubarkan dari terus membazirkan wang negara sehingga Perdana Menteri perlu pula tubuh jawatankuasa jihad melawan inflasi kerana kegagalan MPN,” katanya menerusi satu kenyataan.

Syed Mohd berkata demikian sebagai respon kepada Ketua Penerangan Parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kedah, Khairul Anuar yang mendesak Shahril Hamdan meletakkan jawatan sebagai Pengarah Ekonomi Perdana Menteri.

Katanya, alasan yang diberikan Khairul kerana Ketua Penerangan UMNO itu bukan orang kepercayaan Ismail juga adalah tidak berasas.

“Shahril dilantik menjadi Pengarah Ekonomi bukan untuk menjadi orang kepercayaan PM tetapi untuk membantu beliau mempertimbangkan keputusan-keputusan penting mengenai ekonomi negara sebagai contoh gaji minima yang naik kepada RM1,500… Shahril antara orang yang menasihat Perdana Menteri perkara ini perkara yang baik untuk rakyat.

“Janganlah cemburu dengan kepercayaan yang diberi Perdana Menteri terhadap Syahril Hamdan, anak muda UMNO yang merupakan lulusan Ekonomi dari University of Manchester yang ditaja biasiswa Bank Negara Malaysia dan berjaya memperoleh ijazah Sarjana dalam bidang Etnik Kaum dan Kajian Pasca-kolonial di London School of Economics and Political Science dengan biasiswa penuh dari Chevening, Jabatan Luar dan Komanwel British.

“Berpengalaman sebagai Jururunding Strategi dan Pengurusan di McKinsey and Company selama 3 tahun, Pengurus Penempatan di Teach For Malaysia dan Pegawai Dasar kepada Menteri Kabinet selama 2 tahun, tidak cukupkah untuk diangkat sebagai Penasihat Ekonomi Perdana Menteri?” tegas beliau.

Beliau malah memberi amaran kepada Khairul untuk tidak perlu menjadi ejen pemecah belah UMNO sebaliknya perlu menjaga parti sendiri sama ada masih relevan atau sebaliknya.

“Yakin ke PPBM ada sokongan dekat Kedah? Saya tidak hairan jika lepas Pilihan Raya Umum ini PPBM tidak akan ada sebarang kerusi di Kedah dan Shahril akan terus laksanakan tugas beliau selaku Ketua Penerangan UMNO dan Pengarah Ekonomi Perdana Menteri,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit