Saya Bukan Tali Barut Halang Tuntutan MA63 – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 7 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan beliau bukan tali barut yang menidakkan usaha untuk menuntut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang hangat dibincangkan sejak sekian lama.

Bung Moktar sebaliknya berkata beliau hanya menyarankan bahawa sudah tiba masanya pemimpin Sabah bertindak dengan bijak dalam menuntut hak rakyat Sabah yang termaktub dalam MA63 daripada kerajaan Pusat.

“Saya bukan tali barut, saya hanya berkata sudah tiba masanya pemimpin Sabah bertindak secara bijak dan saya tidak pernah berkata untuk menidakkan perjanjian MA63.

“Apa yang saya kata pemimpin yang bijak akan mencari jalan penyelesaian tetapi sebaliknya pemimpin yang lemah dan rapuh akan terus memainkan isu ini walaupun dia sendiri tahu isu ini tidak akan selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia sebagai maklum balas terhadap tuduhan tidak berasas mengenai cadangan yang diluahkan pemimpin BN termasuk Bung Moktar berhubung usaha merealisasikan sepenuhnya tuntutan MA63 pada Konvensyen BN Sabah, baru-baru ini.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, hanya pemimpin yang bijak mampu mencari jalan bagi mencapai tuntutan MA63 tanpa perlu menunjukkan emosi yang berlebihan.

“Ada pepatah mengatakan pemimpin yang tidak bijak seumpama anjing menyalak bukit, beratus tahunpun dia menyalak, bukit tidak akan runtuh.

“Sebaliknya pula pemimpin bijak diibaratkan seperti anjing yang pandai, kurang menyalak tetapi ia akan menyusuri jalan kecil sehingga ke puncak bukit dan mendapatkan apa yang dia mahu,” katanya.

Ketua UMNO Sabah itu, berkata ‘New Deal’ yang dicadangkan dalam isu tuntutan MA63 bermakna semua perkara yang menjadi halangan atau kekangan untuk melaksanakan perjanjian yang dipersetujui akan dihapuskan.

Dengan cara itu, katanya Sabah akan mendapat lebih peruntukan dan bukan seperti yang diperjuangkan oleh pemimpin yang berjuang tetapi untuk mencari publisiti murahan semata-mata.

Jelasnya, MA63 telah dimeterai berpuluh puluh tahun lalu, namun belum ada penyelesaian walaupun sudah ramai pemimpin tampil memperjuangkan isu itu, termasuk ada yang dipenjarakan.

“Hakikatnya walaupun isu ini (MA63) telah dibincang beratus kali, dibahas beribu kali, pemimpin demi pemimpin datang dan pergi, ada pemimpin dan orang perseorangan yang membawa isu ini dan ada yang masuk penjara kerana terlalu beremosi atau ‘extreme’, namun isu MA63 masih tidak selesai.

“Perjuangan untuk mendapatkan hak Sabah dalam MA63 masih tidak dicapai,” katanya.

Bung Moktar turut membidas bekas pemimpin BN yang kini lantang bersuara mengenai MA63 tetapi hanya berdiam diri ketika mereka berada dalam kerajaan BN sebelum ini.

“Dalam isu ini ramai pemimpin beremosi dan sesat di jalan yang terang. Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Pemimpin WARISAN, Pemimpin UPKO, mereka semua ini berada dalam kerajaan BN dahulu.

“Namun, apabila berada dalam kerajaan mereka memilih untuk berdiam diri, apabila BN kalah merekalah yang meninggalkan BN atau melompat terlebih awal,” katanya.

Tambah Bung Moktar lagi, sekarang mereka itu memikirkan kuasa semula kerana akan berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bukan memikirkan bagaimana hendak membangun negeri dan bekerja untuk memajukan Sabah.

“Kenyataan mereka hanya bersifat mencari ‘political mileage’ namun tidak memikirkan jalan terbaik menyelesaikan isu demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” jelasnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit