Yakini Kepimpinan Parti, Bangkit Bersama Untuk UMNO Lebih Kukuh – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 21 Mei – UMNO sentiasa menerima cabaran dan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) lalu adalah dugaan terbesar yang pernah berlaku namun ahli-ahli parti perlu yakin bahawa UMNO akan kembali bangkit, kata Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Katanya, ahli-ahli UMNO perlu memberikan kepercayaan kepada Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas-tugas Presiden dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang melaksanakan tugas-tugas Timbalan Presiden bagi mengepalai parti hari ini.

“Kita boleh bangkit kembali untuk menjadi satu kuasa baru dikalangan rakyat. Saat dan ketika ini kita akan jadi pembangkang yang baik, kita mungkin tidak lama jadi pembangkang sebagaimana di negeri-negeri yang kita pernah kalah tapi kemudian kita menang balik.

“Dengan sokongan padu ahli-ahli UMNO maka parti kita yang ibarat ‘kapal’ yang sudah tenggelam boleh diangkat kembali ke permukaan air dan di selamatkan segala isi-isinya.

“Yakinlah, jika kita bersatu, kita akan kuat dan kita akan dapat menghadapi mereka kerana mereka menang tidak banyak, hanya 12 kerusi lebih daripada paras kemenangan,” ujarnya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian.

Tegasnya, yang penting adalah untuk terus terus membela agama, bangsa dan tanah air dengan kekal dalam UMNO iaitu satu parti keramat yang terlalu banyak jasa kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO-Online selepas program pertemuan Timbalan Ketua UMNO bahagian-bahagian bersama Zahid di Ibu Pejabat UMNO, hari ini. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit