Ismail Calon PM: Bukti Zahid, Tok Mat Pemimpin Berjiwa Besar – Shahril

KUALA LUMPUR, 15 April – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan meluahkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi parti terutama Presiden dan Timbalan yang berjiwa besar dan cakna dalam hala tuju negara.

Katanya, ini membabitkan keputusan dicapai pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam berkenaan calon Perdana Menteri iaitu Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang jelas bagi meneruskan fokus untuk agenda memperkasa rakyat.

“Terima kasih Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan yang telah beberapa kali berjiwa besar dalam membuat keputusan demi negara.

“Biar diserang kiri kanan, kedua-dua tokoh ini tetap komited memastikan Barisan Nasional (BN) meneruskan agenda membantu dan membela nasib rakyat,” katanya pada hantaran di Facebook.

Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menambah, ketetapan menamakan Ismail Sabri itu juga jelas menunjukkan bahawa kesepakatan terjalin di antara kepimpinan parti keramat ini.

“Alhamdulillah, dengan sebulat suara MKT UMNO menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri BN bagi Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) … ni jelas membuktikan kepimpinan parti bersatu padu dan tidak ada perpecahan.

“Keadaan ini memudahkan tugasan pimpinan parti untuk merencanakan halatuju negara demi kestabilan, kesinambungan dasar-dasar negara agar kesejehateraan dan keharmonian rakyat terus terbela di bawah BN.

“InsyaAllah, kami akan bekerjasama untuk kebaikan Keluarga Malaysia#SambungYangTergendala,” ujar beliau.

Semalam, mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid mencapai kata sepakat mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15 akan datang. –  UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit