Ismail Sabri PM PRU15, MKT Sempurnakan Mandat PAU 2021 – Reezal
KUALA LUMPUR, 16 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpandangan ketetapan yang dicapai kepimpinan parti semalam adalah simbolik kepada penyatuan parti.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata ini termasuk solidariti dan dokongan utuh parti kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
“MKT menyempurnakan mandat Perhimpunan Agung UMNO dan aspirasi ahli UMNO seluruh negara
“Keputusan ini memberikan mesej dan petanda jelas bahawa UMNO sudah mencapai tahap solidariti yang luar biasa kukuh untuk berdepan cabaran PRU15,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jelas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi, beliau melihat perkara ini memberi impak yang baik kepada pentadbiran Ismail ketika ini untuk meneruskan perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri.
Tambah Reezal keadaan ini juga mewujudkan elemen kestabilan bukan sahaja kepada imej parti malah memperkukuh perspektif luar kepada masa hadapan politik negara.
“Endorsan dan pengesahan padu MKT UMNO ini sekaligus memberikan ruang yang cukup luas kepada Perdana Menteri untuk menyusun dan merencana agenda memenangi hati dan minda rakyat dalam masa terdekat ini.
“Ikhtiar reformasi dan transformasi politik juga akan dapat disusun dengan lebih kemas dan menyeluruh.
“Mewakili seluruh ahli UMNO Bahagian Kepala Batas, kebijaksanaan muafakat yang dicapai oleh pimpinan tertinggi ini merupakan azimat penting untuk UMNO memperoleh mandat penuh rakyat menjelang PRU15 akan datang,” ujar beliau. – UMNO Online