UMNO Komited Terus Bersama Rakyat… Sentiasa Jadi Mata, Telinga Hulur Bantuan – Sharkar

TEMERLOH, 4 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap agar bantuan yang disalurkan oleh kepimpinan UMNO untuk pelbagai lapisan rakyat akan dapat meringankan beban dan membantu masing-masing untuk terus bergerak ke depan.

Beliau yang juga Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Temerloh sedar bahawa dengan suasana cabaran hari ini rakyat tentunya berdepan kesulitan untuk masing-masing bergerak selepas pelbagai cabaran termasuklah COVID-19 serta banjir baru-baru ini.

“Alhamdulillah semalam selesai Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Usahawan Keluarga Malaysia Parlimen Temerloh bertempat di Dewan Abdullah Kia Bangunan UMNO Temerloh.

“Penerima terdiri dari kalangan usahawan Tekun iaitu seramai 110 orang dan usahawan Amanah Ikhtiar seramai 200 orang. Kita berharap masing-masing dapat terus bergerak ke depan dan insya-Allah kita (UMNO) akan sentiasa membantu rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu Sharkar yang juga Ketua UMNO Temerloh turut mengharapkan pelbagai program dapat dijayakan termasuklah program beliaa mahu pun kepelbagaian program pendidikan yang lain.

“Saya juga turut menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada individu, Ketua Kampung dan NGO bagi kegunaan pembiayaan pendidikan, program dan sebagainya.

“Semoga dengan adanya pelbagai bentuk sumbangan seumpama ini ianya sedikit sebanya dapat membantu dan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh penerima bagi menjayakan program masyarakat setempat,” ujarnya.

Turut bersama-sama dalam majlis berkenaan wakil daripada Tekun dan juga AIM serta pimpinan setempat yang lain.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit