Bulan Penuh Keinsafan… Marhaban Ya Ramadan
KUALA LUMPUR, 2 April – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan merakamkan ucapan selamat menjalankan ibadah puasa kepada seluruh rakyat Malaysia pelbagai peringkat.
Katanya, sambutlah Ramadan bulan yang barakah ini dengan penuh keinsafan.
“Untuk semua muslimin dan muslimat… selamat menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan Al Mubarak.
“Semoga kita semua dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki serta kesihatan yang baik jua hendaknya, Aamin Ya Rabbal ‘alamin,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook beliau.
Dalam pada itu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengharapkan agar dapat bertemu lagi bulan yang penuh keberkatan dan bersyukur di atas segala nikmat yang diberiNya.
“Alhamdulillah…tahun ini kita dapat bertemu lagi dengan bulan penuh kemuliaan dan keberkatan, iaitu bulan Ramadan.
“Marilah kita bersama-sama sambut bulan ini dengan penuh kesyukuran atas segala nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T dan sambut juga dengan penuh kesabaran untuk apa jua cabaran yang mendatang.
“Semoga kita beroleh keberkatan sepanjang bulan Ramadan ini… Insya-Allah,” jelasnya.
Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memohon keampunan di atas segala ketelanjuran sama ada disedari mahupun tidak.
“Saya mengambil kesempatan menjelang Ramadan Al-Mubarak ini, menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala keterlanjuran, kekhilafan, kesilapan samaada yang disengajakan ataupun tidak, disedari ataupun tidak.
“Saya juga memaafkan segala kesilapan, kesalahan tidak kira yang mengata, mengeji, memfitnah, mentohmah, menikam sama ada yang mengenali secara dekat ataupun hanya melalui pelbagai platform termasuk media sosial ini.
“Moga Allah merahmati, memberkati dan melimpahkan maghfirahNya sepanjang bulan Ramadan ini agar kita semua diangkat martabat ketaqwaan disisiNya jua,” ujarnya. – UMNO Online