Gunakan Sebaiknya Pengeluaran One-Off KWSP – Asyraf  

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap pengeluaran khas RM10,000 secara One Off dapat digunakan sebaiknya oleh pencarum yang akan mengeluarkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut beliau informasi ringkas berkaitan perkara berkenaan yang baru sahaja dimuatnaik menerusi laman sesawang KWSP dilihat cukup mudah dan ketiadaan syarat-syarat yang menyukarkan.

“KWSP baru sahaja memuat naik informasi ringkas berkenaan Pengeluaran Khas RM10 ribu secara sekaligus (one-off). Alhamdulillah tiada syarat-syarat yang menyusahkan.

“Bagi yang memerlukan manfaatkanlah sebaiknya untuk memulakan kehidupan baharu pasca pandemik dan melangsaikan segala komitmen tertunggak. Bagi yang tidak memerlukan, kekalkanlah simpanan kalian bagi mendapat manfaat dividen dan keperluan masa depan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kerajaan sebelum ini bersetuju membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP. Justeru hari ini kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000,” katanya dalam sidang media khas sebelum ini.

Ismail berkata, keputusan itu dibuat susulan masih ada dalam kalangan Keluarga Malaysia terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Asyraf serta pimpinan UMNO lain antara yang lantang menyuarakan perkara berkenaan dalam usaha membantu masyarakat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Antara lain ditegaskan Ketua Pemuda UMNO itu, perkara yang dituntut rakyat adalah selaras dengan Akta KWSP dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.