Cukup- Cukuplah Salahkan Pas, BN

KUALA TERENGGANU 14 Sept. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diminta berhenti menyalahkan Pas dan Barisan Nasional (BN) atas kegagalan mereka menunaikan janji manifesto dalam tempoh 100 hari yang ditetapkan.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh berkata, trend itu makin menjadi-jadi terutama dengan segala gejala kemelut yang berlaku ketika ini, yang digembar-gemburkan PH dengan polemik politik seolah-olah untuk menjana persepsi buruk terhadap kedua-dua parti berkenaan.

Katanya, ia termasuk dalam isu-isu kewanitaan dan kekeluargaan yang berkait dengan agama Islam misalnya perkahwinan bawah umur, tuntutan femenisme di samping lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dimomokkan di media.

“Cukup-cukuplah asyik menyalahkan pihak lain. Rakyat mengharapkan mereka fokus berusaha memperbaiki keadaan dan menjaga kemaslahatam rakyat terutama mereka yang terpinggir dan tertindas.

“Kita juga sedar kemunculan beberapa isu tersebut sudah berlarutan lama sebelum PH membentuk kerajaan baharu hasil daripada serangan pemikiran dan budaya, liberalisme, orientalis Barat dan musuh-musuh Islam dalam selimut dengan agenda Islam Liberal mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tama sempena perasmian Muktamar Dewan Muslimat Pas Ke-58 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.

Menurut Nuridah, PH kini tersepit dengan kebangkitan dan tuntutan yang kadang kala seolah ingin merubah janji setia pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu daripada pemimpin bukan Islam mereka sendiri.

“Suara-suara pemuka bukan Islam dengan majoriti ahli Parlimen bukan Islam sebanyak lebih 60 orang semakin tambah mendesak tanpa segan silu

“Ahli Parlimen beragama Islam mereka seramai 58 orang pula tidak sekata dan berpolitik untuk kekal berkuasa dengan sikap serta pandangan yang dilihat umum mesra dan menyebelahi tuntutan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit