NGO Kesal Sikap Tidak Profesional Pihak Berkuasa Kawal Himpunan Aman
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Penganjur himpunan aman ‘perkuburkan perasuah bersama Pemantau Malaysia’ melahirkan rasa kecewa dengan sikap tidak profesional pihak berkuasa dalam mengawal situasi perhimpunan tersebut.
Jelas penganjurnya Datuk Lokman Noor Adam, sepatutnya pihak berkuasa bersikap lebih bertimbang rasa dalam mengawal situasi dan bukannya bertindak kasar sehingga mengundang provokasi.
“Kami bukan mahu buat kacau, ini adalah himpunan aman tetapi saya kecewa dengan pihak berkuasa apabila mereka bersikap tidak profesional dengan mengoyakkan laporan polis yang kami buat dan mematahkan mikrofon.
“Tindakan pihak berkuasa ini mengundang rasa tidak puas hati di kalangan mereka yang hadir tetapi Alhamdulillah akhirnya keadaan dapat dikawal dengan baik,” ujar beliau kepada media selepas bersurai daripada himpunan tersebut.
Perhimpunan yang turut disertai oleh beberapa NGO lain seperti Charm, Melayu Bangkit, Soaram dan Pewaris ini adalah bertujuan untuk membuat satu laporan polis terhadap Peguam Negara Tommy Thomas atas salah guna kuasa beliau sebagai seorang penjawat awam, kegagalan untuk melakukan pertimbangan undang-undang yang baik tanpa rasa takut atau berat sebelah dan juga kegagalan beliau melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Peguam Negara dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dengan menggugurkan dua tuduhan rasuah ke atas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang melibatkan jual beli sebuah banglo di No 25 Jalan Pinhorn.
Tommy Thomas didakwa gagal menggunakan pertimbangan yang profesional, beretika, dan sah di sisi undang-undang dan pada masa yang sama telah menunjukkan konflik kepentingan yang jelas kerana beliau sendiri pernah mewakili Guan Eng di dalam kes ini.
Selain itu, laporan polis turut dibuat berkaitan transaksi mencurigakan di mana Kementerian Kewangan, di bawah pentadbiran Guan Eng dan telah membuat dua pemindahan wang yang sangat mencurigakan sebelum bermulanya kes ke atas Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pertama pada 23 Mei 2018 Kementerian Kewangan didakwa melakukan pemindahan wang berjumlah RM2.5 juta ke Maybank Islamic Berhad manakala pada 27 Julai 208, satu lagi pemindahan sebanyak RM 2.5 juta juga kepada akaun Maybank Islamic Berhad milik SPRM.
Laporan ini dibuat bagi meminta pihak PDRM menyiasat sama ada memindahan wang berjumlah RM5 juta ini adalah sebagai sogokan untuk melakukan Pendakwaan ke Atas Najib Razak atau adakah ianya sebagai satu sogokan kepada pihak SPRM bagi menarik balik dakwaan ke atas Guan Eng. – MediaUMNO