Salam Israk Mikraj 1443H, Peristiwa Ibrah Besar Hubungan Hamba Dengan Tuhan-Nya
KUALA LUMPUR, 28 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan salam Israk Mikraj 1433H dengan mengingatkan peristiwa ini memberi ibrah sangat besar dalam konteks hubungan hamba dengan Tuhannya.
Ujarnya, bagaimana kekasih Allah Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan insan-insan yang kuat menyokong perjuangan baginda namun digantikan dengan perjalanan begitu hebat yang tidak pernah dialami oleh hamba Allah SWT yang lain.
“Ia juga menjadi detik permulaan ibadah Solat 50 waktu sebelum diringankan menjadi 5 waktu yang menjadi tiang agama Umat Islam.
“Ibadah ini turut menjadi medan pertemuan harian 5 waktu sehari semalam seorang hamba dengan Tuhannya yang diwajibkan demi kasih dan sayang Allah SWT kepada hamba-Nya yang merindukan pertemuan,” katanya dalam ucapan menerusi laman facebooknya, hari ini.
Ujarnya, semuanya secara ringkas membawa erti apabila seorang telah menjadi hamba Allah SWT yang dikasihi maka seluruh alam akan mengasihinya dan rindu untuk bertemu dengannya diberi pertolongan dari jalan yang tidak disangka-sangka.
“Pendek kata jika Allah menyayangi kita siapa lagi yang mampu atau mahu menyakiti kekasih-Nya? Sollu Alan Nabi Alaihissolatu Wassalam.” – UMNO Online