Jangan Tertipu Lagi… Rakyat Tahu Beza Kaca Dan Permata, Tolak Janji Bulan Bintang – Onn Hafiz
JOHOR BAHRU, 25 Feb – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap pengundi dapat menggunakan peluang yang sebaiknya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, peluang ini harus diaplikasi dengan bijak kerana tentunya rakyat sudah dapat bezakan antara kaca dan permata selepas rakyat menerima pelbagai natijah yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH).
“Saya yakin ramai yang sudah terbuka mata, dapat membezakan antara kaca dan permata. Kalau dulu sebelum PRU 14, pemimpin PH sering membuat janji dan janjinya macam bulan dan bintang tetapi tidak dapat ditunaikan.
“Saya yakin anak-anak muda sudah terbuka mata semasa PH memerintah 22 bulan. PH melaung-laungkan benda lain tapi yang dibuat benda lain. Kita tidak lihat demokrasi mengembang, yang mengembang adalah ‘hipokrasi’ daripada PH.
“Pada anak-anak muda buatlah pilihan terbaik. Kalau tertipu sekali… mungkin kita silap tetapi kalau tertipu dua kali mana kesilapannya dan cukup bahaya bagi Negeri Johor untuk lima tahun akan datang. Sama-samalah kita membangunkan Negeri Johor yang disayangi dan pilihlah BN demi kestabilan masa depan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Dalam pada itu Onn Hafiz menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan UMNO/BN kerana memilih beliau menjadi calon DUN Machap.
“Saya berterima kasih kepada pucuk pimpinan yang telah membuat pilihan untuk menjadi calon DUN Machap walaupun pernah berkhidmat di DUN Layang-Layang. Apabila diberikan kepercayaan maka saya akan melakukan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya.
“Saya akan cuba memenangi hati rakyat dan merayu pengundi-pengundi di Machap supaya mereka memberikan saya peluang untuk berkhidmat kepada mereka… Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online