Rakyat Mahu Calon Berwibawa Bukan Pilih Kacak, Cantik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menempelak sebuah parti politik yang mengumumkan akan hanya menampilkan calon yang mempunyai tarikan fizikal dan rupa paras menarik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Jelas beliau, perkara tersebut adalah mengejutkan kerana mereka seakan mengeksploitasi paras rupa dengan keyakinan akan mendapat undi malah seperti merendah-rendahkan rakyat di negeri ini.

“Amat mengejutkan apabila parti politik gabungan Perikatan Nasional (PN) boleh berfikiran kuno menjelang PRN Johor pada 12 Mac ini. Seolah-olah menganggap begitu miskin kualiti pemikiran orang Johor dalam menilai calon berwibawa.

“Sesungguhnya Tuhan menciptakan setiap insan dengan sebaik-baik kejadian. Tiada yang kurang kacak dan kurang cantik di sisi Yang Maha Esa. Semua adalah sama paras rupa kacak tidaklah bermakna seseorang lelaki lebih baik berbanding kurang kacak.

“Paras rupa cantik bukanlah bermaksud seseorang wanita lebih baik berbanding kurang cantik begitu juga sebaliknya. Kecantikan dan kekacakan tidak mencerminkan nilai insan adakala yang kurang menarik paras rupa itu yang kacak dan cantik pekertinya… inilah kekacakan dan kecantikan sejati yang tidak akan pudar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, tindakan itu juga dianggap seperti mengajak rakyat Malaysia ke arah kebelakang dalam nilai kehidupan mereka.

“Serendah itukah nilai politik Malaysia cuba diterap oleh lawan BN? Sejak sekian lama umat manusia dididik supaya tidak mendiskriminasi paras rupa, mereka melakukan sebaliknya,” soal beliau.

Berbeza dengan BN, menurut beliau parti gabungan ini akan menampilkan calon yang bertepatan dengan konsep WALI untuk membawa agenda rakyat sekiranya dipilih pada PRN kelak.

“BN jika ada calonnya yang menarik paras rupa merupakan suatu kebetulan kerana itu tidak pernah menjadi kriteria. Calon BN mempunyai ciri WALI iaitu winnable (boleh menang), acceptable (boleh diterima) dan likeable (disenangi) yang berkaliber dan berdaya.

“Mampu memberi perkhidmatan terbaik pada setiap masa dan tempat tanpa mengira kecantikan dan kehenseman mereka,” ujar beliau.

Terdahulu, pertaruhan BN pada PRN Melaka mengenengahkan calon berdasarkan ciri WALI membuahkan kejayaan apabila gabungan itu menang dengan memperoleh dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menerima mandat untuk kembali mentadbir kerajaan negeri.

Kali terakhir BN memperoleh majoriti dua pertiga di Melaka ialah pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 apabila memenangi 23 kerusi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.