Dr Maszlee Presiden UIA: Dalam Kerajaan PH Tiada Perkara Yang Menghairankan


KUALA LUMPUR, 6 Sept – Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohd Shahar Abdullah berkata soal pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang baru bukanlah satu perkara mengejutkan serta menghairankan.

Ini kerana katanya sejak mengambil alih serta diberi kepercayaan menerajui kerajaan Persekutuan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum yang lalu pelbagai perkara telah dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Pada saya bukan perkara yang mengejutkan… sebenarnya ini adalah antara tindakan yang telah dibuat oleh mereka sejak memenangi kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Ini adalah antara perkara yang akan berlaku dan terus berlaku… sebelum ini mereka hanya menghamburkan janji-janji kosong dengan harapan rakyat memilih mereka dan hari ini rakyat telah membuat pilihan.

“Namun kerajaan dilihat tidak ada rasa bertanggungjawab terhadap rakyat yang telah membuat pilihan. Kerana apa… kerana mereka yakin tempoh pilihan raya yang lagi lama dan mereka tidak mempunyai kebertanggungajawaban berkenaan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Semalam, Persatuan Staf Akademik UIAM mengucapkan tahniah kepada Dr Maszlee atas pelantikannya sebagai presiden universiti itu di halaman Facebook rasminya

Dalam perkembangan  lain, Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar turut melihat Keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berhubung kes Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merupakan titik permulaan noktah hitam dalam sistem perundangan Malaysia.

“Dan apabila ini berlaku sudah pastinya ia tidak memberi satu keyakinan kepada rakyat bahawa mereka dilindungi oleh undang-undang yang sedia ada.

“Kita sudah ada ‘precedent’ kes yang berlaku terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan kenapa pula kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang tidak dikenakan padahal ia mempunyai asas perkara yang sama. Dan sebab itu saya fikir kalau nak menjadikan 3hb sebagai hari terkejut tidak wajar. Namun rakyat perlu mengambil kira tarikh tersebut sebagai titik permulaan noktah hitam dalam sistem perundangan Malaysia,” katanya lagi.

Isnin lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Hadhariah Syed Ismail, membuat keputusan setelah pihak pendakwaan bersetuju menarik semula semua pertuduhan terhadap Guan Eng.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.