UMNO Kelantan Putus Kerjasama Dengan PAS

KUALA LUMPUR, 22 Jan – UMNO Kelantan hari ini memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan PAS menerusi persefahaman Muafakat Nasional (MN) yang dibina pada 2019, kata Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan,  Noor Hariri Mohamed Noor.

Katanya ketetapan tersebut adalah mengambil kira beberapa faktor terutama keputusan PAS yang menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Mengambil kira kepada semua peristiwa yang berlaku kami membawa suara akar umbi ahli UMNO Kelantan untuk berpisah dengan PAS Kelantan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selagi mana kerjasama bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih diteruskan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Noor Hariri yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas berkata mereka menghormati keputusan PAS untuk kekal bersama Bersatu yang bertindak mengulangi kenyataan mempertahankan PN.

“Kami juga perlu menghormati keputusan akar umbi UMNO dari bawah sehingga ke pucuk pimpinan seperti mana dua kali Mesyuarat Perwakilan Bahagian 2020 dan 2021 serta Perhimpunan Agung UMNO 2020 jelas menolak kerjasama dengan Bersatu.

“UMNO dan PAS telah melalui persefahaman politik unik dan indah dengan linangan air mata kesyukuran sehingga termeterainya piagam MN pada September 2019 ketika bersama-sama menjadi pembangkang. Namun PAS pula telah mengikat perjanjian bersama Bersatu di dalam satu ikatan parti berdaftar Perikatan Nasional setelah menjadi Kerajaan.

“Apapun yang berlaku dalam pelbagai dinamika senario politik hari ini Pemuda UMNO Kelantan senada bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang sentiasa mengamalkan politik matang demi menjaga kerukunan ukhwah yang telah pun terjalin,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.