Mangsa Banjir, Rakyat Terjejas COVID Tetap Perlukan Tumpuan Kerajaan

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Pemuda UMNO menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakib berhubung pelbagai bantuan untuk sebilangan mangsa banjir di seluruh negara semalam, namun pada masa yang sama turut melihat cadangan pengeluaran i-Citra RM10,000 masih terus hangat diperkatakan oleh rakyat,

Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd Johan Rizal bin Syed Unan Mashri berkata permintaan ini dari awalnya bukan hanya terhad oleh mangsa banjir sahaja, bahkan dituntut sebelum musibah banjir lagi.

Menurut beliau desakan ini adalah kerana menyedari ramai yang terkesan akibat pandemik luar biasa CIVID-19 dan kesan PKP yang berpanjangan (negara paling lama menguatkuasakan lockdown), sekali gus mengakibatkan ramai hilang punca pendapatan, terbelenggu dengan hutang dan komitmen tertunggak.

“Ramai yang melihat Perdana Menteri mengikut telunjuk parti PPBM apabila beliau tidak meluluskan cadangan ini. Dalam diam, kami melihat, PPBM menggunakan peluang ini untuk menghentam beliau dan UMNO, sebaliknya mereka cuba menaikkan imej Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya berani mengarahkan KWSP untuk membuat beberapa pengeluaran simpanan rakyat sebelum ini.

“Saya berpandangan, menaikkan jumlah pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 ini memberikan kesan yang kecil jika dibandingkan dengan pengeluaran i-Sinar yang mencecah maksima RM60,000. Malahan, dana yang dikeluarkan ini boleh digantikan semula melalui pelbagai kaedah seperti yang pernah dicadangkan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mengambil contoh seorang pekerja bergaji RM2,000 sebulan, jumlah caruman bulanan KWSP beliau adalah RM460 sebulan (11% pekerja + 12% majikan) dan bernilai RM5,520 (RM460 x 12) untuk setahun. Malah, tambahan pengeluaran RM5,000 hanya bernilai RM12,931 dalam tempoh 25 tahun dengan kadar dividen terkumpul 5% setahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, sebenarnya tuntutan pengeluaran ini telah lama dibuat malahan sebelum Datuk Seri Ismail Sabri menjadi PM lagi, cuma musibah banjir tahun ini menjadikan tuntutan ini lebih relevan.

“Saya difahamkan bahawa cadangan ini telah pun dibawa ke pengetahuan Jemaah Menteri oleh Datuk Seri Ismail Sabri, namun ianya telah ditolak oleh Menteri Kewangan bersama beberapa Menteri dari PPBM termasuklah beberapa Menteri UMNO yang ‘mesra PPBM’. Secara tidak langsung, PPBM dilihat ‘berjaya’ mensabotaj kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai PM dan Naib Presiden UMNO.

“Pada hemat saya, Kerajaan sepatutnya mempercayai rakyatnya sendiri dalam bagaimana mereka mahu membelanjakan simpanan mereka dengan meluluskan tuntutan ini dengan segera, atau PPBM akan terus dilihat boleh melaksanakan dasar ini dan PM dari UMNO pula akan dianggap tidak berkebolehan untuk melaksanakannya walaupun sebenarnya boleh melaksanakannya.

“Ditegaskan di sini bahawa gesaan berteraskan denyut nadi hidup rakyat ini adalah komitmen jelas Pemuda UMNO untuk warga Malaysia yang masih terjejas hidupnya untuk kembali membina kehidupan mereka, sejajar dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 27 Ogos 2021 yang lalu. Ianya bukan sama sekali bermotif politik populis, jauh sekali bersifat “menghasut’ seperti selaran Menteri Kewangan,” tambahnya.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.