Mesyuarat UMNO Istimewa Selepas Kemenangan PRN Melaka – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian kali ini adalah istimewa kerana ianya secara kebetulan dilakukan sejurus kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Melaka.

Bagaimanapun katanya kejayaan tersebut tidak sesekali harus menjadikan UMNO kembali alpa, leka jauh sekali sombong dan angkuh.

“Selamat bersidang dan bermesyuarat kepada semua perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri 191 Bahagian UMNO seluruh Malaysia.

“Mesyuarat kali ini harus dijadikan pentas untuk kita melakukan muhasabah dan koreksi diri bagi merencanakan segala tindakan dan gerak kerja yang lebih bersepadu dan kemas bagi mendekati dan menyantuni rakyat yang ketika ini masih dilanda keresahan dan kesempitan akibat pandemik yang belum berakhir,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Asyraf, persidangan kali ini juga sebagai medan untuk mengembalikan keteguhan saf dan iltizam perjuangan agar tidak mudah tergelincir daripada agenda sebenar perjuangan parti keramat UMNO.

“Moga Allah rahmati dan berkati perjuangan kita semua. Kepada-Nya juga kita berserah dan mengharapkan petunjuk, inayah dan pertolongan,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit