Struktur Parti Teratur Bolehkan UMNO Terus Bertahan, Berdepan Cabaran – Ir Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Struktur organisasi UMNO pelbagai peringkat terserlah saban tahun apabila masing-masing bukan sahaja dapat menjayakan persidangan serta mesyuarat Cawangan masing-masing, malah turut melontarkan cadangan dan penelitian terhadap soal kepentingan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berpandangan itulah hakikat yang sama sekali tidak boleh dinafikan apabila bermula di peringkat cawangan lagi segala usul dan perkara dibangkitkan, seterusnya dibawa ke peringkat bahagian dan akhinya ke peringkat tertinggi iaitu Perhimpunan Agung UMNO.

Menurut beliau itulah uniknya UMNO apabila masih lagi mampu bertahan dan mampu mendepani cabaran semasa walaupun pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu parti berkenaan tewas, namun mula bangkit secara perlahan-lahan dan hari ini semangatnya tetap membara untuk membela rakyat.

“Memang saban tahun mesyuarat bahagian adalah platform paling tepat untuk ahli di akar umbi menyatakan hasrat mereka. Ambil contoh pada PAU yang lepas apabila usul-usul daripada peringkat cawangan dibawa ke peringkat bahagian tentang kerjasama politik dengan parti Bersatu dan itu berasal daripada akar umbi.

“Dan pada tahun ini di peringkat cawangan telah pun selesai dan banyak usul sebenarnya termasuklah soal pilihan raya selain soal-soal semasa melibatkan kepentingan rakyat, maka tentunya PRN Melaka memberi suntikan semangat kepada ahli di akar umbi untuk terus bergerak selepas ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Katanya lagi, bukan setakat struktur dalam berorganisasi memperlihat wajah UMNO, malah dalam soal pilihan raya juga membuktikan parti berkenaan kemas susun aturnya.

“Memang UMNO ini terkenal dengan strukturnya yang teratur bukan sahaja di peringkat tertinggi malah di pelbagai peringkat. Bukan setakat itu sahaja… kita boleh nampak juga dalam soal pilihan raya dengan susunan jenteranya yang teratur apabila masing-masing memainkan peranan.

“Dan saya lihat dengan struktur organisasi yang teratur ini kita akan terus bertahan walaupun PRU-14 kita kalah tetapi insya Allah kita masih mampu bergerak ke depan dan mendepani cabaran apabila adanya struktur seumpama ini,insya-Allah,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.