Kepimpinan Cawangan Teras Perjuangan Akar Umbi UMNO

SEJAK ditubuhkan 75 tahun lalu, UMNO terbukti berjaya menempuh pelbagai cabaran dan dugaan sama ada yang mendepani ombak kecil, ombak besar waima tsunami sekalipun.

Formula kekuatan bahtera UMNO itu sebenarnya adalah hasil kesepakatan kira-kira 3.35 juta ahli dari hampir 22,000 cawangan keseluruhannya. Daripada jumlah itu, pendayung cawangan-cawangan sudah mula bermesyuarat dan berhimpun sejak 15 Oktober lalu atas semangat kebangkitan semula.

Semua akar umbi cawangan bermusyawarah berdasarkan kepentingan bersama, mengambil kira keputusan yang dapat diterima dengan akal yang sihat dan sesuai hati nurani pada setiap tahun berlangsungnya mesyuarat UMNO.

Mesyuarat cawangan itu adalah sebahagian proses musyawarah yang membuat pertimbangan moral, realistik dan menghala tuju politik yang semakin dinamik lebih diutamakan dan bersumber dari hati nurani yang luhur.

Sementara kepemimpinan UMNO di Pusat merencanakan agenda dan hala tuju yang lebih besar terangkum dengan pelbagai persiapan, terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 yang semakin menghampiri.

Ironinya, kebersamaan musyawarah cawangan, tidak kiralah kepimpinan Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri, saya melahirkan keyakinan suara pada peringkat akar umbi pasti terus bergema, termasuk suara-suara mengenai transformasi kepartian yang dekat di hati akar umbi, pengundi dan rakyat.

Usah bimbang kerana hampir 22,000 UMNO cawangan tetap utuh walaupun pada satu ketika bahtera itu hampir karam, tetapi kini UMNO kembali menerajui kerajaan dan negara di bawah konsep Keluarga Malaysia.

Kebangkitan sudah mula dirasai, maka ayuh UMNO cawangan, langkah sederap membingkai ikatan demi kemakmuran dalam kalangan pemimpin UMNO pada peringkat akar umbi

Namun, diyakini perbezaan pandangan itu tidak akan memudaratkan perjuangan UMNO yang tidak pernah alpa terhadap tanggungjawab membela orang Melayu.

Kepimpinan UMNO cawangan sudah semestinya memiliki rasa kasih akan parti, selain memiliki semangat perjuangan kental untuk merealisasikan hasrat kepemimpinan UMNO pada peringkat Pusat dan Bahagian.

Pemimpin UMNO cawangan termasuklah Wanita, Pemuda dan Puteri diyakini mampu meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi dan tidak bertindak melulu hanya kerana ada persepsi yang timbul dalam satu-satu isu berkaitan parti dan sebagainya.

Yang penting kepimpinan UMNO cawangan sentiasa mampu melakukan perubahan berasaskan perubahan landskap politik semasa kerana cabaran politik sekarang tidak sama seperti ketika UMNO ditubuhkan.

Kesepakatan dan kesatuan ahli UMNO di peringkat akar umbi bukan terjadi dengan sendiri.

Sebaliknya ia adalah hasil kebijaksanaan kepemimpinan UMNO menyusun strategi pengukuhan melalui pelbagai program di peringkat bahagian yang terus melebar ke cawangan masing-masing.

Sifat rasional dan dinamik UMNO yang sentiasa membuka pintu kepada pandangan UMNO di peringkat akar umbi sentiasa ditegaskan pada pihak kepimpinan Pusat.

Dalam hal ini, saya yakin kebersamaan mendukung kepemimpinan. Perbezaan pendapat biar pun diraikan, akhirnya UMNO diperkukuhkan, pemimpin itu hendaklah diberi sokongan sepenuhnya.

Pada masa sama, UMNO perlu membuka ruang yang lebih kepada golongan intelek, wanita, agamawan dan orang muda khususnya sebagai meningkatkan sokongan terutama pada ketika negara bakal menerima pengundi UNDI18.

Berilah generasi muda yang bakal mengambil alih tampuk kepemimpinan parti pada masa depan. Generasi muda perlu diberi peluang seluas-luasnya peluang dan diketengahkan bermula dari peringkat cawangan lagi dan bahagian demi kelangsungan perjuangan UMNO.

Bagi memastikan UMNO terus kekal sebagai tunjang kekuatan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negara ini, pemimpin dan ahli UMNO harus berfikir di luar kotak dan mencari formula baharu dalam usaha menarik sokongan rakyat.

Situasi politik semasa yang semakin mencabar sangat memerlukan UMNO memikirkan kebijaksanaan baharu untuk menangani cabaran itu.

Namun demikian, UMNO akan tetap berfungsi sebagai parti yang mampu memartabatkan masyarakat Melayu Islam dan Bumiputera menjadi bangsa yang dihormati dan unggul, selain tidak meminggirkan mana-mana bangsa dan kaum lain.


Datuk Norliza Abdul Rahim
(Penulis ialah Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia)

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.