Pelbagai Gelagat, Gaya Pemidato Hiasi Hari Pertama Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021
KUALA LUMPUR, 16 Okt– Pelbagai gelagat dan pelbagai celoteh daripada pemidato menghiasi hari pertama Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 yang bermula hari ini dengan masing-masing cuba memikat hati para juri.
Bukan sahaja dengan fakta serta lontaran idea malah masing-masing turut mempamerkan kelainan dengan menggayakan pakaian ketika berada di pentas sama ada pakaian tradisional mahu pun fesyen terkini.
Namun paling penting tentunya penghujahan masing-masing dengan tempoh masa yang diberikan oleh pihak penganjur untuk mereka mengupas serta mengolah tajuk pidato masing-masing.
Pemidato daripada Kedah, Suhaimi Md Shoib dengan gaya loghat Kedah dan berbaju Melayu memulakan pidatonya dengan pantun yang cukup menarik sesuai dengan tajuknya ‘UMNO parti terbaik memlihara institusi Melayu’.
“Nak nafi apa lagi jasa UMNO ini, dulu makan air telaga, la ni dok makan air mineral water, dulu guna api minyak pelita, la ni api dalam kaca, petik nyala cahaya,” katanya dengan penuh semangat memulakan hujahnya.
Meneruskan hujahnya lagi beliau yang mendapat tempat kedua pada pertandingan pidato Piala Online UMNO peringkat negeri Kedah baru-baru ini, memang tepat UMNO adalah parti terbaik memlihara institusi Melayu tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini.
Hujahnya, menelusuri 75 tahun kewujudan UMNO dan 60 tahun sebelum parti berkenaan diuji pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14, pada 2018 siapa boleh nafikan kejayaan UMNO dalam membangunkan institusi bangsa dan membela rakyat bukan sahaja Melayu tetapi pelbagai kaum di negara ini.
“Kenapa saya berkata begitu dan apa logiknya… 1946 UMNO tertubuh hasil gabungan kesatuan-kesatuan Melayu mempunyai pelbagai ideologi bergabung menentang Malayan Union dan menuntut kemerdekaan negara. Tertubuhnya UMNO kerana maruah agama, bangsa dan negara.
“Berbanding dengan parti lain-parti lain seperti PKR sebagai contoh yang tertubuhnya mereka adakalanya kerana dendam, kerana hasad dengki, tidak puas hati dan sebagainya,” katanya.
Katanya lagi, UMNO sekian lama telah membina dasar dan merangka pelbagai pelaksanaan untuk rakyat termasuklah dalam soal pendidikan dan sebagainya.
“Kita tidak menafikan hak orang lain, kita tidak namakan sekolah Melayu tetapi kita namakan sebagai Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan itulah UMNO,” ujarnya.
Hari ini dan esok merupakan Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 yang disempurnakan perasmiannya oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn.
Manakala peserta daripada Wilayah Persekutuan, Zairul Hisyam Zainal menggunakan nama ‘bila black berbicara’ bukan sahaja menampilkan kelainan pada nama samaran, malah beliau turut menggunakan imej ‘Pemuda bermotor’ dalam menyampaikan hujanya dengan tajuk ‘Jenama UMNO Mampu Terpahat Di Hati Orang Muda’.
Sambil membawa ‘Helmet’ ke pentas, beliau memulakan hujahnya dengan penuh semangat dan kental selaras dengan tajuk yang berkaitan dengan orang muda dekat dengan UMNO.
Zairul daripada UMNO bahagian Bandar Tun Razak menggariskan beberapa pendekatan dalam usaha parti berkenaan untuk terus mendekati anak-anak muda sekaligus sebagai pilihan kepada golongan berkenaan.
“Anak muda adalah aset negara… aset kita yang tidak ternilai. Sebagai salah seorang pemuda yang lahir daripada kilang Pemuda UMNO melalui pengalaman bersama anak muda yang lain, hari ini saya berdiri untuk menyatakan daripada hati saya sendiri. Apa yang sebenarnya anak-anak muda mahu daripada kita.
“Jika kita dapat memberi tumpuan kepada golongan ini khususnya kepada mereka-mereka yang terjejas pendapatan ekoran pandemik yang melanda seperti ‘kiosk-kiosk’ perniagaan sama ada di bandar mahu pun luar bandar sudah pasti ianya memperlihatkan tumpuan kepada golongan berkenaan termasuklah beberapa pendekatan lain,” tambahnya.
Sementara itu UMNO Melaka menerusi pemidatonya daripada kaum hawa tidak kurang hebatnya apabila secara bersahaja menyampaikan hujahnya yang bertajuk’Mampukah UMNO survive dalam politik perbandaran’.
Beliau yang diundi sebagai peserta kedua daripada 39 peserta yang bertanding mengatakan orang di bandar mentalitinya terbuka dan sentiasa melihat tindak tanduk tindakan pemimpin.
Dengan gayanya tersendiri sambil diselang seli ungkapan hujah menggunakan pantun yang sinonim dengan Melaka serta nyayian yang menghiasi pidatonya, Nadiah mengatakan setiap pemimpin perlu turun ke bawah.
Beliau turut merungkaikan pelbagai bentuk bantuan dan beberapa langkah perlu lain yang perlu diambil dalam mendekati masyarakat warga perbandaran termasuklah soal kediaman yang perlu diambil kira kerana jika berterusan mereka ini akan semakin jauh. – UMNO Online