BN Harap Kerajaan Negeri Gandakan Pencapaian Johor
ISKANDAR PUTERI, 12 Ogos — Barisan Nasional (BN) Johor hari ini berharap kerajaan negeri diterajui Pakatan Harapan menggandakan dan menambah baik pencapaian termasuk dengan membentangkan pelan pembangunan ekonomi jangka pendek dan panjang untuk Johor.
Ketua Pembangkang, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata kerajaan negeri perlu memberi nilai tambah serta sumbangan tersendiri, dan bukan sekadar mewarisi pencapaian negeri Johor yang sudahpun maju tetapi menjadikannya lebih baik.
“Pakatan Harapan mewarisi Johor yang maju dan diuruskan dengan cemerlang. Bukannya negeri yang miskin, bermasalah dan tidak mempunyai hala tuju.
“Jika kedudukan dan pencapaian tidak dapat ditambah baik atau digandakan nilainya, ia sudah pasti menjadi bukti kegagalan besar kepada Menteri Besar dan seluruh jentera kerajaan negeri,” katanya pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.
Hasni (BN-Benut) berkata secara jujurnya BN teruja menantikan pembentangan pelan pembangunan ekonomi jangka pendek dan panjang, sekali gus berharap perancangan itu lengkap menyentuh hala tuju pembangunan Johor secara dasar.
“Bukan sekadar menukar nama atau mengitar dan mempakejkan semula Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ) atau mana-mana pelan lain yang dibentangkan BN sebelum ini.
“Kerajaan negeri juga mesti tampil membentangkan pelan dan strategi kerajaan negeri untuk berhadapan dengan Singapura, khususnya komitmen mencari peluang baharu dan membawa balik kira-kira 300,000 warga Malaysia yang kini mencari rezeki di sana,” katanya, sambil menambah kerajaan negeri juga perlu menjelaskan perancangan memperkasakan Iskandar Malaysia.
Hasni berkata kerajaan negeri dalam pada itu, perlu membentangkan pelan untuk orang Melayu di negeri ini, pelan khusus berkaitan air, laporan penuh status serta pencapaian selepas 100 hari pentadbiran.
“Kami berharap kerajaan negeri dapat membentangkan secara lengkap status dan pendirian kerajaan negeri berhubung isu melibatkan kerjasama dan keputusan kerajaan persekutuan seperti projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Johor-Singapura (HSR) dan Sistem Rapid Transit (RTS) antara Singapura dan Johor Bahru.
“Benar dan kami akui, ia adalah keputusan sebahagian besarnya diputuskan Putrajaya (pusat pentadbiran kerajaan persekutuan). Tetapi Iskandar Puteri (pusat pentadbiran kerajaan negeri) juga mestilah berani dan tegas dalam mengangkat suara Johor dengan lebih serius dan bermakna,” katanya.