Menghitung Hari… Janji 100 Hari Yang Gagal Ditepati – Fadzli
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohd Kamal berkata tinggal beberapa hari sahaja lagi menjelang 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sejak Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang lalu, pasti kerajaan PH akan temui jalan buntu sekali gus gagal penuhi janji yang terkandung dalam manifesto hebat mereka yang kononnya akan dilaksanakan dalam tempoh tersebut.
Menurut beliau, maka janji-janji ini akhirnya akan jadi janji kosong atau lebih tepat ‘penipuan kepada rakyat’ kerana rakyat selama ini dididik untuk mempercayai bahawa janji-janji yang terkandung dalam manifesto mesti dijayakan oleh parti yang menang dam itulah amalan dan tradisi selama ini.
“Janji GST akan dimansuhkan, memang benar, tetapi digantikan pula dengan SST, yang dijangka menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lebih tinggi berbanding sebelum ini. Jika dari awal kerajaan PH berjanji GST dimansuhkan dan digantikan dengan SST, maka sudah pasti rakyat tidak akan mengundi mereka. Mereka hanya sebut mengenai SST selepas mereka menang. Ini yang dimaksudkan sebagai ‘penipuan kepada rakyat’.
“Malah, janji-janji utama yang lain termasuk pemansuhan bayaran PTPTN, penetapan minyak petrol pada harga RM1.50 dan penghapusan bayaran tol, sudah pasti gagal dilaksanakan menjelang 100 hari pemerintahan PH kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang terlalu besar. Persoalannya… kenapa berjanji kalau tidak boleh ditepati?
“Rakyat mula bising dan berasa curiga. Mereka juga mula sedar betapa kerajaan hari ini lebih suka bercakap kosong, gemar mengeluarkan kenyataan bersifat populis, dibarisi menteri yang tidak berpengalaman, serta sibuk dengan isu-isu remeh,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Katanya lagi, maka timbullah kenyataan seperti pelajar wajib pakai kasut hitam, hutang negara 1 trilion, Angkatan Tentera Malaysia paling teruk di dunia, jangan pandang pramugari jika menjolok mata, dan pelbagai lagi.
Padahal kata beliau, lagi banyak lagi isu rakyat yang lebih penting dan mendesak untuk diselesaikan seperti berkaitan penurunan harga sawit dan getah, kenaikan harga barang, penyaluran bantuan kewangan ke sekolah-sekolah, gerakan mempromosi LGBT yang kian berleluasa, penyebaran fahaman syiah yang semakin tidak terkawal dan lain-lain lagi.
“Inilah isu-isu rakyat yang harus terlebih dahulu diberi tumpuan berbanding kasut hitam. Apa ikhtiar kerajaan untuk selesaikan isu ini. Ini belum cerita pasal kelemahan dan kesilapan kenyataan menteri-menteri PH yang mengakibatkan berbilion ringgit dibawa keluar dari Bursa Saham Kuala Lumpur, kerajaan China mula beralih dari Malaysia dengan membeli minyak sawit Indonesia, dan macam-macam lagi.
“Hakikatnya, inilah yang berlaku dalam tempoh 100 hari pemerintahan PH. Janji tidak dilaksanakan, serta pada masa yang sama, macam-macam kesilapan dilakukan yang menjejaskan masa depan rakyat dan negara,” katanya lagi – MediaUMNO