Irwan Serigar Buat Laporan SPRM Berhubung Kehilangan RM18 Bilion Dana Bayar Balik GST

PUTRAJAYA, 10 Ogos – Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah hari ini membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kehilangan RM18 bilion dalam dana amanah pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Mohd Irwan Serigar yang memandu sendiri kenderaan Chevrolet berwarna hitam memasuki SPRM pada kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum keluar semula dua jam kemudian.

Ditanya wartawan mengenai laporan yang dibuat, Mohd Irwan Serigar berkata adalah laporan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran kerana dakwaan bahawa RM18 bilion hilang adalah tidak berasas.

“Petang ni saya akan buat laporan polis. SPRM beri jaminan akan siasat. Benda (duit) itu tidak hilang tetapi masuk dalam consolidated fund,” katanya.

Ditanya sama ada beliau memberikan sebarang dokumen kepada SPRM, Mohd Irwan Serigar berkata semua dokumen berkaitan ada dengan Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Rabu mendedahkan berlaku kekurangan RM18 bilion dalam dana amanah pembayaran balik GST.

Mohd Irwan Serigar kemudian menafikan dakwaan itu.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit