Kerajaan PH Tadbir Kedah Ala Syarikat, Kira Untung Rugi Sahaja
ALOR SETAR, 5 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah yang nyata mengambil alasan tarif air akan dinaikkan di negeri terbabit bagi menampung skim bekalan air percuma sebagai justifikasi kerajaan sedangkan sebenarnya untuk lari dari tanggungjawab ke arah memenuhi keperluan rakyat.
Ketua Penerangannya Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menjelaskan ini kerana pentadbiran kerajaan PH bagai syarikat korporat iaitu hanya mengutamakan untung rugi berbanding kebajikan untuk rakyat.
“Kita tidak hairan selepas ini tarif air akan dinaikkan di Kedah dengan alasan bagi menampung skim bekalan air percuma.
“Bukti yang sedang dihadapi oleh pengguna air di Selangor tidak mustahil merebak di Kedah kerana dasar PH memang bijak memberi alasan. Kemudian mengambil kesempatan kesan dari ramainya pengundi dan masyarakat yang mereka sendiri gelar sebagai ‘uneducated’,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terangnya, skim air percuma bagi bil bawah RM10 mula diperkenalkan hasil inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) mulai Januari 2018 yang manfaatnya diterima hampir 220 ribu akaun pengguna iaitu bersamaan dengan 38 peratus daripada akaun pengguna air di negeri Kedah.
Tujuan skim ini bermaksud untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup, menggalakkan penjimatan air dan meningkatkan reserve margin atau simpanan air di LRA SADA yang sebelum ini berada pada kadar sifar peratus. Dengan kos bulan pertama dibiayai kerajaan negeri berjumlah RM1.5 juta dan kemudiannya menurun pada Febuari berjumlah RM1.3 juta.
“Malangnya apabila PH mengambil alih kerajaan negeri, antara kenyataan awal dikeluarkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah mengkaji semula skim ini atas alasan ianya satu bebanan pada kewangan negeri.
“Akhirnya keputusan kerajaan dibuat dengan begitu drastik iaitu hanya 15 ribu akaun pengguna menerima menafaat, pengurangan sebanyak 93 peratus. 15 ribu akaun berkenaan berdasarkan rujukan di sistem e-kasih bawah seliaan JKM.”
Katanya, tiga isu berbangkit boleh dikemukakan dalam hal ini iaitu pertama, nyata dasar PH jika melibatkan manfaat untuk masyarakat senantiasa dibuat kajian kemudiannya faedah itu dikurangkan iaitu sama seperti skim BRIM, dulunya 7 juta rakyat diberi insentif kini hanya berbaki 4 juta penerima.
“Walhal jika projek mega untuk kroni misalnya projek kondo RM30 bilion di Langkawi dengan mudah dipertimbangkan kelulusan begitu sahaja. Demikian juga projek pembekalan fiber optik kepada Opcom yang anak Perdana Menteri sendiri punyai pegangan saham mudah pula diluluskan walaupun kosnya menelan lebih RM11 juta. Ini adalah pendekatan pilih kasih yang nyata diamalkan PH.
“Isu keduanya kenapa di zaman BN skim ini boleh dilaksanakan tanpa perlu memberi alasan pelbagai. Namun kini alasan demi alasan dicipta hanya semata mata mahu menekan rakyat.
“Alasan bahawa kaedah asal juga menguntungkan orang kaya tidak dapat diterima logik kerana pada pendapat Pemuda UMNO golongan kaya yang menikmati faedah bil bawah RM10 itu itu amat sedikit. Yang teramai adalah golongan nelayan, petani, penoreh getah, pekerja berpendapatan rendah dan orang kampung,” katanya.
Tegasnya, isu ketiga yang berbangkit, apakah data 15 ribu keluarga miskin di Kedah dari daftar e-kasih adalah data sebenar yang mencerminkan realiti di negeri ini?
“Bagaimana pula kalangan keluarga miskin yang tercicir dan tidak didaftar dalam sistem berkenaan?
“Selain takrif kemiskinan mana yang digunapakai, sama ada ukuran Bank negara, Unit Perancang Ekonomi, JPM bagi mengesahkan bilangan ini?” soal beliau lagi. – MediaUMNO