Tanpa Desakan UMNO Mustahil Darurat Dibatalkan

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Penganalisis Politik Raziq Michael berpandangan ada dua perkara menarik melibatkan sesi persidangan khas Parlimen hari ini.

Ujarnya, pertama adalah sesi persidangan di Dewan Rakyat hari ini adalah hasil desakan Biro Politik UMNO yang memberikan tempoh masa 14 hari kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk berbuat sedemikian.

Kedua katanya, surat Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam iaitu 25 Julai dijawab hari ini di Parlimen oleh Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan telah memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini dan Proklamasi Darurat telah pun ditamatkan pada 21 Julai 2021.

“Kenapa perkara sepenting ini tidak diumumkan lebih awal oleh kerajaan dan hanya diumumkan selepas desakan demi desakan dibuat oleh UMNO?

“Apakah tindakan ‘backdate’ kepada 21 Julai 2021 ini untuk mengelakkan keputusan yang dibuat ini tidak mencerminkan desakan UMNO? Soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambahnya lagi, penamatan Proklamasi Darurat ini juga secara langsung memperlihatkan kerajaan telah bersetuju bahawa langkah yang diambil adalah satu langkah yang gagal dalam menangani kes jangkitan COVID-19.

“Soalnya, berapa ramai sudah dikompaun beribu ringgit di bawah Ordinan Darurat ini?

“Adakah kompaun yang dikeluarkan kepada rakyat pada dan selepas 21 Julai 2021 ini sah? Tanyanya lagi.

Justeru katanya, hakikatnya UMNO terus konsisten dengan membawa suara rakyat.

“Desakan dan tekanan daripada UMNO yang akhirnya memastikan wujudnya semak dan imbang dalam kerajaan PN ini,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.