91 Pengusaha Kraftangan Perak Terima Bantuan RM2,000

IPOH, 19 Okt – Kerajaan Negeri Perak mengumumkan ‘Bantuan Perak Sejahtera Usahawan Kraftangan Perak’ berjumlah RM182,000 kepada 91 pengusaha kraftangan yang tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana agensi sebelum ini.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata bantuan secara sekali beri berjumlah RM2,000 bagi setiap pengusaha itu diharap dapat membantu usahawan kraf terlibat bangkit kembali dalam perniagaan selepas pandemik COVID-19.

“Selain itu, sebagai salah satu tanda sokongan kerajaan negeri kepada produk usahawan, saya telah meminta supaya semua agensi negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri menggunakan produk-produk usahawan Perak sebagai cenderahati rasmi agensi dan GLC masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat 11 usahawan pelbagai kategori dan majoriti daripada mereka telah mendapat manfaat daripada program dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Saarani berkata Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) akan menyelaras senarai produk berkaitan untuk diberikan kepada agensi-agensi serta GLC dan ia diharap dapat membantu mempergiatkan promosi produk keluaran usahawan Perak.

Sementara itu, beliau berkata usaha menerapkan konsep pendigitalan perniagaan dalam kalangan usahawan telah memberikan kesan positif khususnya dari aspek pemasaran.

“Jualan yang dahulunya jatuh tetapi kini telah mula naik kembali malahan ada yang pendapatannya meningkat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), STeP dan Institut Darul Ridzuan (IDR) akan terus mencari jalan untuk memperkasa golongan usahawan khususnya dalam membantu mereka membina semula perniagaan selepas COVID-19.

Menurut Saarani, kerajaan negeri telah mengumumkan pelbagai Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM46.5 juta khusus untuk membantu Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Negeri Perak bagi mengharungi tempoh sukar susulan pandemik COVID-19.

Antaranya bantuan khas sekali beri sebanyak RM300 kepada 41,730 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan peruntukan sebanyak RM12.5 juta dan Geran Usahawan Perak (GeRUP) berjumlah RM1.85 juta dengan sejumlah 619 penerima.

Selain itu, bayaran pampasan peniaga yang terlibat dengan pembatalan Bazar Aidilfitri tahun ini melibatkan dana sebanyak RM30,000 dan pengecualian sewa 10,264 gerai di bawah PBT yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.6 juta.

“Kemudahan moratorium bayaran balik pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak dan pinjaman mikro kredit Yayasan Bina Upaya juga diberikan melibatkan 743 peminjam,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit