33 Tahun Itu Terlalu Lama… Inilah Masanya Untuk ‘Uboh Kelate’ – Zulkifli

TUMPAT, 31 Julai – Pemerintahan Pas selama 33 tahun yang tidak membawa apa-apa kemajuan di Negeri Kelantan disifatkan adalah terlalu lama maka Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini merupakan peluang untuk mengubahnya.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, peluang yang diberikan oleh pucuk pimpinan bagi mewakili parti ini sudah semestinya akan digunakan untuk berkhidmat sebaiknya jika diberi mandat oleh rakyat.

“Alhamdulilah mandat ataupun peluang yang diberikan oleh pucuk pimpinan UMNO ini sudah semestinya membuatkan saya teruja. Nawaitu saya sejak tujuh tahun lalu sebagai seorang ahli politik adalah untuk berkhidmat kepada agama dan masyarakat.

“Untuk kita menterjemahkan perkhidmatan, semestinya kita perlu ada sedikit kuasa. Daripada kuasa itu tadilah kita boleh terjemahkan cita-cita dan niat kita. Insya-Allah kalau diberikan peluang oleh para pengundi di DUN Pengkalan Kubor, saya akan terjemahkan niat saya sebaiknya.

“Kita sebar agama sebenar, jangan agama yang mengelirukan. Agama Islam ini mudah sebenarnya namun yang menyusahkannya ialah manusia. Ada juga pemimpin yang membuatkan rakyat keliru,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, pimpinan negeri perlu mencuba sedaya upaya untuk menyelesaikan segala masalah disamping menyantuni mereka sebaiknya.

“Rakyat susah sangat sekarang ini. Jika kita tidak menjanjikan sesuatu, semestinya kita perlu menyelesaikan satu persatu masalah rakyat di negeri. Rakyat kita santuni dan perkhidmatan kita dinilai oleh rakyat.

“Ubah ini, kalau kata ruang untuk pengundi bagi (kepada kerajaan negeri) lima atau sepuluh tahun, itu mungkin tidak sesuai. Proses penilaian. Ini sampai 33 tahun pengundi masih lagi berasa selesa dengan masalah-masalah yang ada sampai tahap nak memasak pun kena beli air mineral.

“Ubah Kelantan. Kalau tak ubah, nak tunggu 100 tahun lagi, dengan kecelaruan yang ada hari ini masalah ini akan berlanjutan. Kita dah beri peluang kepada kerajaan negeri terlalu lama iaitu selama 33 tahun. Inilah masanya untuk ubah Kelantan,” katanya lagi.

Mendepani tempoh berkempen selama dua minggu, Zulkifli turut mengharapkan para jentera menjalankan tugas mereka sebaiknya dan turut berpesan kepada rakyat untuk berfikir sedalam-dalamnya ketika menzahirkan undi pada 12 Ogos nanti.

“Kepada para jentera, semestinya saya mengharapkan agar jawatan yang diberikan kepada mereka berfungsi di setiap peringkat. Semua perlu berperanan dalam menjalankan tugas semaksima mungkin. Daripada itulah lahir sebuah kekuatan jentera yang tidak leka dan ambil mudah perjuangan dalam pilihan raya.

“Kepada pengundi, 33 tahun ini merupakan tempoh yang sangat lama. Sekiranya Negeri Kelantan dibina dan diurus dengan baik dalam tempoh tersebut, rakyatnya bersatu-padu antara satu sama lain, saya pun akan menyarankan agar rakyat mengekalkan kerajaan ini.

“Tetapi yang ada pada hari ini, semua aspek itu amat mendukacitakan. Ubahlah Kelantan. Sudah semestinya segala masalah akan kita cuba selesaikan dan agama akan kita definisikan dengan istilah agama Islam sebenar… yang berkasih sayang antara satu sama lain, tidak maki hamun serta mencela meskipun berbeza pendapat. Apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.