Wanita Bukan Sekadar Pelengkap… Tetapi Pemimpin Perubahan – Noraini
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad percaya bahawa wanita bukanlah sekadar pelengkap, tetapi pemimpin kepada perubahan.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia memaklumkan bahawa beliau telah hadir ke Program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Kebangsaan pada Ahad.
“Program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia Madani Peringkat Kebangsaan telah dirasmikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Kehadiran beliau memberi makna besar dan tanda sokongan penuh kerajaan terhadap usaha memperkukuh peranan wanita dan mempertingkatkan semangat kenegaraan,” katanya.
Jelasnya, seminar tersebut menyerlahkan betapa pentingnya sokongan berterusan dalam melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya saing.
“Peserta yang hadir ke program ini bukan sekadar datang mendengar, tetapi membawa bersama kisah kejayaan, cabaran dan harapan mereka. Ia membuktikan bahawa wanita mampu berdiri sendiri, mencipta peluang dan membina perniagaan yang memberi impak bukan sahaja kepada ekonomi keluarga, malah menyumbang kepada pembangunan negara.
“Seminar ini juga menyerlahkan betapa pentingnya sokongan berterusan dalam melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya tahan, berinovasi dan mampu menembusi pasaran global.
“Wanita Malaysia hari ini sedang membuktikan bahawa mereka bukan sekadar penggerak ekonomi tempatan, tetapi juga mempunyai potensi besar untuk menjadi pemain utama di pentas antarabangsa,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada MARA yang sentiasa memainkan peranan dalam membantu memperkasa golongan wanita.
“Saya juga ingin menzahirkan ucapan penghargaan buat MARA, sebuah Institusi yang sentiasa konsisten memainkan peranan penting dalam membantu golongan wanita daripada bimbingan, sokongan, pembiayaan hinggalah pelbagai inisiatif strategik. MARA adalah rakan strategik yang memastikan lebih ramai usahawan dan pemimpin wanita lahir, berdaya saing serta mampu maju bersama arus pembangunan negara.
“Turut hadir bersama ialah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi MARA dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pengajian Tinggi.
“Saya percaya wanita bukan sekadar pelengkap, tetapi pemimpin perubahan. Wanita sedang membuktikan bahawa mereka mampu berada di barisan hadapan, memimpin dengan kebijaksanaan, ketegasan dan penuh jiwa empati. Benarlah kata orang, ‘di tangan wanita ada kekuatan membentuk generasi, dan di bahunya terletak kekuatan untuk memimpin perubahan’,” katanya lagi. – UMNO Online