URA Bukan Sekadar Pembangunan, Tapi Perjuangan Hak Milik Rakyat

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menyifatkan Urban Renewal Act (URA) bukan hanya berkisar soal pembangunan fizikal semula kawasan bandar, tetapi membawa makna lebih besar sebagai usaha mempertahankan hak milik tanah terakhir yang berbaki bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana di bandar.

Perkara itu ditegaskan Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua-Ketua Pemuda dan Putera UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan malam tadi, bagi membincangkan isu URA dari perspektif generasi muda bandar.

“URA bukan sekadar soal pembangunan semula tetapi juga melibatkan soal perjuangan mempertahankan last piece of land yang menjadi hak golongan sasaran.

“Terutamanya yang kurang berkemampuan di dalam bandar untuk memiliki rumah dengan kadar harga yang reasonable dan mampu milik,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut meminta jentera Pemuda dan Putera agar melakukan sesi libat urus lanjut serta penyelidikan menyeluruh yang boleh diangkat sebagai suara rasmi anak muda bandar.

Mohd Razlan dalam pada meluahkan keyakinan beliau bahawa keprihatinan yang ditunjukkan oleh wakil-wakil muda UMNO Wilayah terhadap URA yang akan memberi kesan jangka panjang kepada pemilikan hartanah mampu milik dalam bandar.

“Secara keseluruhannya saya berasa gembira dan puas hati apabila mendengar pandangan mereka dari sudut anak muda bandar serta melihat kesedaran dan kefahaman yang cukup mendalam terhadap isu ini.

“Ada beberapa pandangan dan idea yang boleh diambil serta digunapakai untuk memastikan URA tidak mengkhianati golongan yang kurang kemampuan di dalam bandar.

“Saya juga telah meminta mereka untuk melakukan sesi brainstorming serta penyelidikan lanjut, agar pandangan yang dikumpulkan dapat direkodkan dalam bentuk penulisan dan dijadikan kertas kerja yang perlu diangkat sebagai mewakili suara generasi muda di dalam bandar pada masa hadapan,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79