Perwakilan Desak ‘Turun Tan Sri’ Dalam PAT PPBM Mahu Dipecat? – Puad
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoal tindakan PPBM yang dipercayai akan memecat perwakilan parti itu selepas kekecohan segelintir perwakilan yang didakwa mencemuh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Difahamkan ini kerana lebih memburukkan lagi keadaan apabila sekumpulan perwakilan tersebut melaungkan desakan ‘Turun Tan Sri’ ketika Muhyiddin berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).
“Tun Faisal mendakwa Bersatu wujud kerana menentang kleptokrasi, salah guna kuasa, dan rasuah. Dia cuba ‘cover’ imej Muhyiddin yang tercalar kerana desakan ‘Turun Tan Sri’,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit dalam pada itu turut sama mengimbau kembali peristiwa Muhyiddin suatu ketika dahulu ketika dipecat UMNO kononnya mahu menentang rasuah.
Puad menegaskan bahawa Muhyiddin tidak dipecat daripada UMNO kerana menentang rasuah, tetapi kerana tindakannya naik pentas pembangkang untuk memburukkan parti, tanpa pernah bersuara mengenai isu 1MDB dalam mesyuarat MKT UMNO.
“Kalau benar Muhyiddin anti rasuah maka selesaikan dulu kes mahkamah dana Wibawa. Pujuklah menantunya keluar dari tempat persembunyian. Dia tidak dipecat daripada UMNO kerana menentang rasuah dan kleptokrasi.
“Muhyiddin dipecat kerana dia naik pentas pembangkang memburukkan parti. Sedangkan dia tidak sekali pun pernah bersuara isu 1MDB dalam Mesyuarat MKT. Saya saksi hidup.
“Kalau kerana isu 1MDB, sudah lama dia dipecat. Masalahnya mana boleh hina parti atas pentas lawan. Tetapi Muhyiddin disuruh “turun” di pentas sendiri ketika PAT Bersatu. Itu badan tertinggi Bersatu. Kenapa mereka mahu dipecat. Mana demokrasinya?” soal beliau.
Terdahulu kekecohan itu tercetus pada minggu lalu ketika bekas Perdana Menteri itu mendedahkan terdapat beberapa anggota dalam partinya sedang mengumpul tandatangan dalam usaha untuk menggulingkannya, menyebabkan beberapa hadirin menggesa beliau meletak jawatan.
Seseorang kemudian kedengaran menjerit, ‘tidak benar, Tan Sri’, sebelum sekumpulan kecil perwakilan pula melaungkan ‘turun, turun’ sebagai gesaan menyeru beliau melepaskan jawatannya. – UMNO Online