Pemuda UMNO Tegas: Tiada Pelajar CGPA 4.0 Dinafikan Tempat Di IPTA

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius isu yang kononnya pelajar cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif / Cumulative Grade Point Average (CGPA) 4.0 gagal mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohamad Sollehin Mohamad Tajie berkata dakwaan tanpa asas itu hanya menimbulkan keresahan masyarakat dengan mewujudkan persepsi yang tidak tepat serta berpotensi mengelirukan orang ramai.

“Sekiranya benar terdapat kes yang didakwa, pihak berkenaan wajar mengemukakan data rasmi terus kepada KPT (Kementerian Pengajian Tinggi). Malah, KPT telah menyediakan saluran rayuan dan kaunter maklum balas bermula pada 8 hingga 14 September ini untuk menangani sebarang isu yang timbul. Menyebarkan persepsi tanpa fakta hanya akan merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.

“Pemuda UMNO akan terus bersuara demi kepentingan rakyat keseluruhannya, bukan menembak melulu tanpa menyelidik fakta dalam soal pendidikan. Hentikanlah menjadikan pendidikan sebagai senjata politik untuk kepentingan parti politik, tanpa memikirkan kesan negatif akibat perbuatan tersebut.

“KPT menegaskan bahawa tiada seorang pun pelajar tempatan yang memperoleh CGPA 4.0 dinafikan tempat di IPTA melalui sistem UPUOnline, kecuali dalam beberapa keadaan tertentu, seperti; calon tidak menduduki Malaysian University English Test (MUET); atau calon berstatus bukan warganegara,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Sollehin yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang menjelaskan tidak wajar untuk mengangkat isu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sahaja seolah-olah aliran lain diketepikan.

“Sekiranya benar terdapat calon yang layak tetapi tidak mendapat tempat, nyatakan bukti dengan jelas. Sistem UPUOnline sentiasa menilai semua aliran termasuk STPM, matrikulasi, asasi dan diploma adalah berasaskan merit, kelayakan dan syarat program yang ditetapkan,” katanya lagi.

Seterusnya kata Sollehin lagi terdapat dakwaan menyatakan bahawa tempat anak tempatan telah ‘diambil’ oleh pelajar antarabangsa dan fakta jelas menunjukkan lebih 97 peratus pelajar prasiswazah di IPTA adalah anak tempatan.

“Pelajar antarabangsa hanya sekitar dua (2) hingga tiga (3) peratus di peringkat ijazah pertama, manakala peningkatan yang berlaku adalah di peringkat pascasiswazah (sarjana dan PhD).

“Pascasiswazah merupakan ruang dan peluang untuk universiti menambahbaik penyelidikan, kerjasama antarabangsa, ranking kedudukan universiti dan juga menambahbaik fasiliti universiti melalui yuran penuh yang dibayar oleh pelajar antarabangsa pascasiswazah.

“Keadaan ini sama sekali tidak menjejaskan peluang anak tempatan di peringkat prasiswazah kerana kuota dan kedudukan itu masih dikawal. KPT kekal komited memastikan setiap anak Malaysia yang layak, khususnya mereka yang memperoleh keputusan cemerlang, diberikan peluang untuk menyambung pengajian di IPTA,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79