MIC Perlu Utamakan Perpaduan Dalam BN – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan MIC yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Armada PPBM baru-baru ini melalui wakilnya, Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan.

Menurut beliau, langkah itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, memandangkan hubungan BN dengan PPBM mempunyai sejarah dan cabaran yang tersendiri.

“Jemputan PPBM kepada parti-parti komponen BN untuk hadir ke perhimpunan mereka jelas mempunyai implikasi tertentu yang boleh menjejaskan perpaduan dalam BN. Justeru, amat penting bagi kita semua sebagai rakan lama untuk lebih berhati-hati dalam sebarang tindakan yang boleh mengundang tafsiran berbeza,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Wan Rosdy menegaskan, UMNO sentiasa konsisten mengutamakan semangat setiakawan dalam BN dan terus mempertahankan rakan-rakan komponennya termasuk MIC.

“Malah, di negeri-negeri di mana UMNO mempunyai kedudukan yang lebih baik seperti di Pahang, MIC tetap diberikan tempat yang sewajarnya dan sering dipertahankan atas dasar kebersamaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru MIC untuk terus berdiri teguh bersama UMNO dan rakan-rakan komponen lain bagi memperkukuh BN, membina kembali kekuatan secara kolektif, serta tidak memberi ruang kepada pihak luar yang pernah meninggalkan gabungan tersebut ketika berdepan waktu sukar.

“Percayalah, hanya dengan semangat muafakat dan kebersamaan, BN akan kembali menjadi wadah yang kuat dan dihormati,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79