Malaysia Salur Bantuan Kemanusiaan Kepada Mangsa Gempa Bumi Afghanistan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Malaysia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan yang terjejas akibat gempa bumi kuat yang melanda beberapa wilayah negara itu pada 31 Ogos lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang mendalam atas kehilangan nyawa, kecederaan serta kerosakan besar infrastruktur dan penempatan awam yang dialami rakyat Afghanistan.
Beliau yang juga Presiden UMNO merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) memaklumkan, berdasarkan maklumat daripada Kedutaan Afghanistan di Malaysia dan Kementerian Luar Negeri (KLN), kerajaan telah menetapkan beberapa langkah khusus.
“Tiada keperluan untuk menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi operasi SAR. Namun, Malaysia akan menyalurkan bantuan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) yang meliputi bantuan perubatan, kesihatan, bekalan makanan serta bukan makanan, selain penglibatan organisasi bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kerajaan turut akan mempertimbangkan pemberian bantuan kewangan kepada Afghanistan, dengan jumlahnya akan ditentukan oleh Jemaah Menteri.
“Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Afghanistan yang terkesan akibat bencana ini dan menegaskan komitmen berterusan untuk bersama-sama masyarakat antarabangsa dalam usaha meringankan penderitaan mereka,” jelas Ahmad Zahid.
Gempa bumi berkenaan dilaporkan telah mengorbankan banyak nyawa dan mencederakan ratusan ribu penduduk, selain meninggalkan kesan kemusnahan besar di kawasan terlibat. – UMNO Online