Belanjawan 2026 Johor Fokus Pembangunan Seimbang, Sentuh Keperluan Rakyat

JOHOR BAHRU, 8 Sept – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor membentangkan Draf Belanjawan 2026 portfolio beliau di hadapan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan penekanan bahawa belanjawan ini bukan sekadar dokumen kewangan, sebaliknya amanah rakyat yang diterjemahkan dalam bentuk projek, infrastruktur dan perkhidmatan.

Ujarnya, bagi tahun 2026, portfolio berkenaan memperuntukkan RM802 juta khusus bagi pembangunan 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan tumpuan kepada sektor pengindahan bandar, rekreasi & TMIYC, pengurusan banjir, Smart City, jalan raya, kemudahan awam serta pelancongan.

“Keseluruhannya terdapat 82 projek berimpak tinggi bernilai RM310.9 juta akan dilaksanakan, antaranya 22 projek kemudahan awam bernilai RM81 juta, 14 projek pengindahan bandar bernilai RM53.6 juta, 12 projek Smart City bernilai RM18 juta serta projek infrastruktur dan jalan raya bernilai lebih RM115 juta,” katanya.

Antara inisiatif yang dirancang termasuk pembinaan dewan, naiktaraf pasar, gerai serta gelanggang futsal berbumbung, pembinaan pusat belia TMIYC, pemasangan lampu jalan pintar, Smart CCTV, projek tebatan banjir, kolam tadahan air dan landskap bandar.

Menurut beliau, portfolio perumahan di bawah Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) turut kekal sebagai agenda utama dengan matlamat menyediakan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang 2026 dan 100,000 unit menjelang 2030.

Selain itu katanya, konsep Smart City di bawah PLANMalaysia Johor turut menjadi tonggak penting dengan projek seperti Johor Urban Observatory (JUO), Smart Lighting, Smart Traffic Light dan digitalisasi sistem PBT bagi menjadikan Johor setanding bandar maju di rantau ini.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan adalah amanah rakyat. Justeru, belanjawan ini dirangka berpaksikan keperluan sebenar rakyat termasuk kos sara hidup, kelestarian alam sekitar, keselamatan komuniti serta pembangunan bandar yang mampan. Panduan kepimpinan YAB Menteri Besar Johor berteraskan semangat turun padang memastikan tiada rakyat dan tiada kawasan yang tercicir,” jelas beliau.

Mohd Jafni juga optimis Draf Belanjawan 2026 ini akan menjadi pemacu baharu ke arah ‘Maju Johor 2030’, membina negeri yang moden, makmur serta berjiwa rakyat demi kesejahteraan Bangsa Johor. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79