Awang Aslee Bidas Pihak Putar Belit Fakta Sejarah PRN16, UMNO/BN Sentiasa Konsisten
BEAUFORT, 8 Sept – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan agar mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya memutar belit fakta sejarah politik Sabah, khususnya berhubung peranan UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Menurut beliau, pihak yang cuba menyalahkan UMNO dan BN dalam pembentukan kerajaan selepas PRN16 sebenarnya tidak mengetahui cerita sebenar.
“Inilah masalahnya bila orang baharu bercakap pasal sejarah, sedangkan tidak tahu hujung pangkalnya. Hakikatnya, PPBM tidak berjaya mengalahkan Warisan dalam PRN16, sebaliknya Warisanlah yang berjaya menewaskan Bersatu. Tetapi selepas PRN, PPBM hanya mampu membentuk kerajaan hasil kerjasama dengan BN yang memenangi 14 kerusi ketika itu,” jelasnya.
Awang Aslee menambah, isu pelantikan menteri juga tidak boleh diputarbelitkan kerana pada hakikatnya jawatan berkenaan merupakan budi bicara Ketua Menteri.
“Namun, dalam kes ini jawatan Menteri JKR telah diberikan kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin berdasarkan perjanjian yang dipersetujui antara BN dan PPBM ketika itu. Perjanjian ini adalah sebahagian daripada usaha membentuk kerajaan bersama yang membolehkan Datuk Seri Hajiji Noor menjadi Ketua Menteri dan Datuk Seri Bung Moktar sebagai Timbalan Ketua Menteri I,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa perjanjian berkenaan telah diserahkan sendiri bersama Datuk Seri Kadzim Yahya yang ketika itu Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah (kini Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah) kepada Datuk Hamzah Zainuddin yang merupakan Setiausaha Agung PPBM ketika itu, untuk ditandatangani bersama antara BN dan PPBM.
“Salinan perjanjian itu juga ada pada PPBM Sabah, maka tidak perlulah ada pihak yang cuba menafikan atau mengelirukan rakyat dengan fakta songsang,” tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian susulan dakwaan Ketua PGRS Moyog, Ceasar Mandela Malakun yang tidak tepat berkaitan pembentukan kerajaan Negeri Sabah selepas PRN16, sebaliknya menyalahkan UMNO/BN Sabah yang dipimpin Bung Moktar.
“Kestabilan politik yang sangat diperlukan di Sabah dan kita mahukan ketelusan dan keikhlasan dalam pentadbiran. Rakyat mahukan pembangunan dan kemajuan, bukannya kerajaan negeri yang hanya memberikan data kononnya Sabah maju sedangkan realitinya rakyat masih banyak ketinggalan,” katanya lagi. – UMNO Online