Struktur Kukuh Jadi Senjata Utama BN, Jentera Siap Siaga Hadapi PRN Sabah
KUALA LUMPUR, 7 Sept – Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan kesiapsiagaan penuh telah dilaksana jentera parti di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bendahari Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata, keyakinan itu berasaskan struktur parti yang kukuh serta pengalaman luas jentera BN di peringkat negeri dan bahagian.
“BN mempunyai struktur parti yang baik, lengkap dengan kepimpinan di semua peringkat sehingga ke akar umbi. Inilah kekuatan kita dalam mendepani PRN Sabah.
“BN Sabah telah menggerakkan jentera di semua peringkat dengan penyelarasan rapi termasuk latihan, strategi komunikasi dan mobilisasi pengundi. Kita mahu memastikan setiap DUN bersedia dari segi logistik, data dan kekuatan akar umbi.
“Fokus utama hanya untuk menang pilihan raya dan kembali menjadi wadah utama rakyat Sabah dalam memperjuangkan pembangunan, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Dr Anil yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Lahad Datu menambah Pemuda BN Sabah mempunyai kekuatan akar umbi yang kukuh sekali gus menjadi tonggak utama kepada keutuhan parti.
“BN Sabah sentiasa bersedia. Kita boleh bertanding di mana-mana kerusi kerana jentera kita sudah digerakkan dan berada pada tahap kesiapsiagaan penuh.
“Bagi kami, persiapan bukan hanya tertumpu kepada kempen pilihan raya, tetapi bagaimana kita mampu mendengar suara rakyat dan menyelesaikan masalah mereka secara berkesan,” jelasnya.
Seterusnya kata Dr Anil lagi, semua kepimpinan yang ada pada ketika ini terdiri daripada pemimpin berpengalaman dan memiliki strategi mantap bagi memastikan kemenangan parti.
“BN Sabah mempunyai kelebihan jentera-jentera BN seluruh Malaysia akan turut membantu di kawasan masing-masing dan semua kepimpinan yang ada pada hari ini adalah dari BN dan mempunyai banyak pengalaman serta strategi.
“BN Sabah harus menjadi dominan demi memastikan kesejahteraan rakyat serta membawa implikasi positif kepada masa depan negeri. Jika BN hanya memperoleh kerusi dalam jumlah yang kecil, usaha menubuhkan kerajaan akan menjadi sukar, walaupun dengan gabungan bersama parti lain,” katanya lagi.
Ujarnya, pendekatan parti bukan hanya tertumpu kepada persiapan menghadapi pilihan raya, sebaliknya turut memberi penekanan kepada usaha mendekati rakyat melalui pelbagai inisiatif berteraskan komuniti.
“Kita mahu meneruskan dan mengukuhkan hubungan bersama rakyat, khususnya golongan muda, menerusi program pendidikan, kebajikan dan aktiviti komuniti yang dekat dengan kehidupan seharian masyarakat.
“Semangat kekuatan akar umbi menjadi tonggak utama kepada keutuhan parti untuk menghadapi cabaran politik semasa dan komited mendekati golongan muda melalui pelbagai program komuniti, pendidikan dan kebajikan agar aspirasi parti lebih dekat dengan rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, segala keputusan mengenai kerusi yang bakal dipertandingkan akan diputuskan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Kita akan ikut keputusan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung kerusi yang akan dipertandingkan.
“Dengan kerjasama erat bersama komponen parti dalam BN, gabungan itu akan mampu menawarkan kepimpinan yang stabil serta dasar pembangunan yang mampan kepada rakyat Sabah,” ujarnya lagi. – UMNO Online