Mohamad Hasan Terus Semarak Semangat Komuniti Dan Patriotisme

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berbesar hati turun padang menyantuni rakyat di Rembau.

Terbaharu beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Rembau berkesempatan menghadiri majlis minum petang anjuran Persatuan Pesara dan Warga Emas Taman Kobena, Senawang.

“Alhamdulillah, majlis yang berlangsung di Surau Badi’ul Islam ini menjadi ruang pertemuan mesra antara ahli persatuan dan penduduk setempat sekaligus mengeratkan lagi silaturahim sesama ahli.

“Turut disampaikan sumbangan bakul makanan kepada para pesara dan warga emas sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka.

“Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung serta memberi manfaat kepada semua penerima,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu bersempena bulan kemerdekaan beliau berkesempatan bersama dengan orang ramai di Karnival Kemerdekaan Pinggiran Senawang.

Mohamad menyifatkan penganjuran program
seumpama ini sebagai usaha murni kerana ia bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam komuniti setempat.

“Hidup bermasyarakat adalah asas kekuatan. Inilah kampung halaman anak-anak kita. Taman perumahan perlu kita jadikan kawasan yang aman, damai dan selamat, supaya anak-anak dapat membesar dengan gembira dan suasana yang sejehtera

“Tahniah kepada anak-anak tabika dan tadika yang tampil penuh warna warni dengan pakaian patriotik. Semoga semangat cintakan tanah air terus dipupuk sejak kecil dan subur dalam jiwa generasi pewaris negara,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu turut sama ke Program Eksplorasi Perpaduan Satelit MADANI Rakyat 2025 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Balairaya Taman Sendayan Indah.

Mohamad berkata Kawasan Rukun Tetangga (KRT) memainkan peranan penting iaitu sebagai nadi penggerak masyarakat di peringkat akar umbi.

“Warga taman perumahan perlu eratkan dan perkukuhkan semangat kejiranan agar keselamatan dan kesejahteraan kawasan taman dapat dikekalkan.

“Tahniah saya ucapkan kepada Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan, Marlina Termudi, bersama semua jabatan dan persatuan yang telah berganding bahu dalam menjayakan program ini,” ujar beliau. – UMNO Online

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79