Malaysia Bersama Perjuangan Delegasi Global Sumud Flotilla – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan keselamatan dan kejayaan delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Misi tersebut melibatkan puluhan kapal flotila antarabangsa yang membawa sukarelawan dan aktivis dari 44 negara dengan tujuan menyampaikan bantuan serta menuntut penamatan sekatan kejam terhadap Gaza.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menyifatkan penyertaan rakyat Malaysia dalam misi itu sebagai satu bentuk keberanian luar biasa demi perjuangan kemanusiaan.

“Merekalah pejuang berani yang berangkat dengan satu tujuan mulia, iaitu untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan dan membawa suara dunia menuntut agar sekatan kejam terhadap Gaza segera dihentikan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan keselamatan semua aktivis yang terlibat, terutama wakil negara, agar diberikan kekuatan dan perlindungan sepanjang pelayaran yang mencabar itu.

“Semoga usaha mereka menjadi saksi keberanian umat manusia dalam menegakkan keadilan, serta membawa sinar harapan buat rakyat Palestin yang sedang diuji,” katanya lagi. –  UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79