‘Ziarah Perwira’ Kenang Jasa Pejuang Berbakti Untuk Negara

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Sempena bulan kemerdekaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohd Najib Samuri mengambi inisiatif tersendiri dengan mengadakan ziarah perwira dalam usaha mengenang mereka yang telah berbakti kepada negara.

Menerusi perkongsiannya bersama UMNO-Online, Najib berkata menerusi usaha sedemikian mereka mengadakan lawatan serta menziarahi bekas-bekas tentera dan polis yang telah sekian lama berkhidmat di dalam pasukan beruniform.

“Sempena menyambut bulan kemerdekaan, ziarah perwira ini kita mencari bekas-bekas anggota keselamatan seperti tentera dan polis untuk menzahirkan penghargaan kepada mereka-mereka yang telah berjasa sebelum ini.

“Terima kasih atas khidmat dan pengorbanan yang dicurahkan untuk negara. Semoga segala jasa para pejuang sebelum ini sentiasa dikenang dan menjadi inspirasi buat generasi kita semua termasuklah generasi akan datang,” katanya.

Beliau seterusnya berkongsi lawatan ke rumah Mohd Khalim Juffri yang merupakan seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia dan Haji Kasiman Mohi, merupakan salah seorang anggota Askar Wataniah yang dikerah untuk mengawal keamanan negara semasa peristiwa 13 Mei 1969.

Mohd Khalim Juffri memulakan khidmat di bahagian logistik sebelum berpindah ke unit divers dan sepanjang perkhidmatan, pelbagai pengalaman berharga ditempuhi, antaranya peristiwa memindahkan kelengkapan dari kem di Singapura ke kem Lumut, satu kenangan yang masih segar dalam ingatan beliau.

Sementara itu Haji Kasiman Mohi merupakan salah seorang anggota Askar Wataniah yang dikerah untuk mengawal keamanan negara semasa peristiwa 13 Mei 1969.
Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, itulah pengalaman Haji Kasiman yang masih diingati sehingga harini. Haji Kasiman juga pernah dikurniakan Pingat Jasa Malaysia (PJM), ia merupakan tanda penghargaan daripada kerajaan Malaysia kepada wira-wira negara.

Selain kedua-dua rumah berkenaan, Najib dan rombongannya turut mengadakan kunjungan ziarah perwira lain sekitar DUN Parit Yaani dalam usaha menyantuni mereka-mereka yang telah berkhidmat dan telah berjasa kepada negara. Sebanyak enam buah rumah perwira negara disantuni sempena menyambut hari kemerdekaan negara. – UMNO Online

https://www.facebook.com/reel/31983246581274544

https://www.facebook.com/watch?v=1296987412138149

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79