Tok Mat Seru Umat Islam Hayati Sunnah Rasulullah SAW

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Sempena sambutan Maulidur Rasul yang diraikan semalam, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan meraikannya di Sekolah Tinggi Islam As Sofa, Rembau.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau menerusi hantaran di Facebook menyeru umat Islam untuk mencontohi ajaran serta keperibadian Rasulullah SAW sebagai teladan utama.

“Sempena Maulidur Rasul, marilah kita bersama-sama menghayati ajaran dan akhlak Rasulullah SAW yang membawa rahmat untuk seluruh alam.

“Semoga kehidupan kita dipandu dengan sunnah Baginda dan Malaysia sentiasa dikurniakan keberkatan, kesejahteraan serta perpaduan. Insya-Allah,” katanya.

Mohamad dalam pada itu turut menyifatkan keberadaan institusi seperti Sekolah Tinggi Islam As Sofa bukan sahaja menyuburkan tradisi ilmu dan tarbiah, malah menjadi bukti bahawa pendidikan Islam mampu membina generasi berakhlak dan berilmu tinggi.

“Syukur, sehingga kini, Sekolah Tinggi Islam As Sofa telah berjaya melahirkan lebih 700 orang huffaz yang menjadi aset berharga buat umat Islam dan negara. Saya turut menyampaikan takrim kepada 40 huffaz Al-Quran yang diraikan.

“Saya juga berkesempatan menunaikan solat Jumaat bersama para pelajar di sini, sambil meneladani suasana ilmu dan tarbiah yang sangat mendidik jiwa,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79