PRN Sabah: Tidak Bekerjasama Bukan Bererti BN, GRS Bermusuhan – Mohamed Khaled
PASIR GUDANG, 6 Sept- Keputusan Barisan Nasional (BN) tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah bukan bermaksud kedua-dua gabungan tersebut bermusuhan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut adalah bagi membolehkan gabungan politik mencari pendekatan masing-masing untuk bertanding dalam PRN berkenaan.
Bagaimanapun katanya, kerjasama antara kedua-dua gabungan tersebut masih boleh dilakukan selepas PRN17.
“Kerjasama antara BN dengan GRS bukan terhad kepada PRN17 sahaja sebaliknya ia boleh dilakukan selepas pilihan raya.
“Kita masuk pilihan raya tanpa kerjasama dengan GRS, sebaliknya hanya kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) tetapi kita percaya melalui pengalaman.
“Selepas pilihan raya pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Kemungkinannya selepas pilihan raya pun UMNO dan BN boleh bekerjasama dengan mana-mana parti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar setelah menyempurnakan Program Penyampaian Zakat Wakalah di Dewan Terbuka Taman Air Biru di sini pada Sabtu.
Pada Jumaat, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa BN tidak akan bekerjasama dengan GRS dalam PRN17 selepas beberapa siri perbincangan bersama termasuk PH.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kerjasama politik antara BN dan GRS tidak semestinya dilakukan sebelum PRN Sabah kerana perkara itu boleh wujud dalam banyak keadaan.
“Sebenarnya kerjasama ini boleh dalam pelbagai bentuk. Pertamanya gabungan parti kerjasama secara dalaman, kerjasama antara parti, maknanya kerjasama dalam BN.
“Dalam BN ada banyak parti. Kemudian kerjasama BN dengan PH. Kita tak bekerjasama sebelum pilihan raya tetapi selepas pilihan raya ada kerjasama,” katanya. – SINAR HARIAN