UMNO/BN Main Peranan Bantu Stabilkan Politik Negara Dengan Baik – Penganalisis
KUALA LUMPUR, 5 Sept – Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menerajui UMNO/Barisan Nasional telah memainkan peranan untuk menstabilkan politik negara dengan baik.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, sektor pendidikan juga telah berjaya diperkasa dengan adanya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Ahmad Zahid.
“Kita jangan sentuh peranan beliau sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), terutama sekali dalam membantu kawasan-kawasan luar bandar mendapat kemudahan asas. Itu dikatakan adalah satu profil tinggi yang amat diminati oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Dari segi pendidikan, sebagai TPM wakil parti UMNO, beliau memberi perhatian terus terutamanya dalam bidang pendidikan melibatkan sektor TVET. TVET sekarang ini boleh dikatakan menjadi perhatian ramai dan rebutan, bukan lagi pendidikan kelas kedua seperti sebelum ini.
“Ini kerana ia diajukan dan diketuai oleh Datuk Seri Zahid serta Pengerusi MARA merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi sebagai pilihan alternatif pendidikan,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, ura-ura mengenai beberapa Ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional (BN) akan berpaling tadah kepada Perikatan Nasional (PN) dapat dipatahkan dengan ketegasan Ahmad Zahid.
“Tapi bagi saya apa yang paling penting… saya melihat di sini bagaimana beliau sebagai TPM telah menstabilkan politik negara dan tanah air. Ini kerana sering terdapat ura-ura bahawa beberapa ahli parlimen UMNO/BN akan berpaling tadah menyokong PN.
“Apabila ini berlaku maka dikatakan akan jatuhnya Kerajaan Perpaduan kerana tiada keyakinan dan sokongan padu daripada UMNO. Tetapi, setiap kali isu ini timbul, Datuk Seri Zahid memberhentikannya dan menjawab persoalan ini dengan tegas mengatakan bahawa ia tidak akan berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa kestabilan yang dibawa oleh Ahmad Zahid telah membolehkan jemaah menteri melaksanakan tugas mereka dengan baik tanpa sebarang tekanan.
“Ini yang kita katakan menstabilkan walaupun PN kalau kita lihat beberapa hari lalu cuba menarik MIC, MCA bersama mereka dan Datuk Seri Zahid mengatakan ini tidak akan berlaku.
“MCA dan MIC lebih selesa, lebih baik nasib mereka jika berada dalam BN. Jadi, saya melihat itulah yang dikatakan tanggungjawab penting sebagai TPM menstabilkan politik negara. Ini supaya Kerajaan Perpaduan dan jemaah menteri dapat melakukan tugas tanpa tekanan-tekanan sampingan yang berlaku,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman