Maulidur Rasul: Teladani Perjuangan Rasulullah SAW, Perkukuh Ummah dan Negara Madani – Azalina
KUALA LUMPUR, 5 September 2025 – Sambutan Maulidur Rasul 1447H / 2025M menjadi detik penting untuk kita semua menghayati perjuangan Rasulullah SAW dalam membina sebuah ummah yang berteraskan iman, akhlak dan keadilan.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, merangkap Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata bahawa kepimpinan Rasulullah SAW perlu dijadikan panduan utama dalam menangani cabaran semasa termasuk ketidaktentuan ekonomi global, perubahan iklim, dan konflik kemanusiaan yang semakin meruncing.
“Dalam era penuh cabaran ini, nilai-nilai Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW – seperti keadilan, kasih sayang, dan kebijaksanaan – kekal relevan dalam membimbing ummah serta memacu pembinaan negara yang progresif dan sejahtera,” katanya.
Tambah beliau, sambutan Maulidur Rasul tahun ini lebih bermakna kerana diraikan serentak dengan Bulan Kebangsaan Malaysia Tahun 2025, yang memperingati perjuangan membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan.
“Justeru, marilah kita jadikan semangat perjuangan Rasulullah SAW dan roh kemerdekaan tanah air sebagai pedoman dalam membina sebuah Malaysia yang inklusif, berdaya saing, dan penuh berkat iaitu seiring dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu ‘Membangun Ummah Madani’,” ujar beliau lagi.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, untuk memperkukuh perpaduan dan terus berusaha memartabatkan prinsip keadilan serta integriti dalam semua lapangan kehidupan iaitu sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Salam Maulidur Rasul 1447 Hijrah / 2025 Masihi saya ucapkan kepada seluruh umat Islam. Semoga kecintaan kita kepada Rasulullah SAW terus menyinari usaha membina negara yang aman, adil dan diberkati,” katanya lagi. – UMNO Online