Wan Rosdy Ketuai Delegasi Malaysia ke Forum Ketua Menteri & Gabenor IMT-GT Di Thailand

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ketua Menteri dan Gabenor (CMGF) Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang berlangsung di Trang, Thailand bermula 2 Sept lalu.

Menurut beliau, pelantikan itu merupakan satu pengiktirafan penting bukan sahaja kepada Malaysia malah juga kepada Negeri Pahang di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 1993, IMT-GT telah menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama serantau, bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi, malah juga dalam keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Forum ini membolehkan kita berkongsi pandangan, menangani cabaran bersama dan merangka hala tuju masa depan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menekankan kepentingan memberi tumpuan kepada bidang utama seperti memperkukuh infrastruktur, transformasi digital, pembangunan mampan serta meningkatkan kesalinghubungan rakyat ke rakyat.

Beliau turut mengetengahkan lima projek pembangunan utama di Pahang yang berpotensi menyumbang kepada agenda IMT-GT, iaitu:
1. Pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan pelaksanaan projek pemecut ekonomi (EAPs) di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang.
2. Menjadikan Gebeng sebagai Taman Perindustrian Halal serantau.
3. Pembangunan industri daging lembu Wagyu dan tenusu di Pahang.
4. Promosi “Visit Pahang” bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
5. Pembangunan Geopark Lipis ke arah pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark.

“Inilah kunci untuk menjadikan rantau kita lebih berdaya saing, inklusif dan makmur. Saya percaya dengan kebijaksanaan serta kerjasama semua pihak, IMT-GT mampu membuka potensi penuh rantau ini demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang,” jelasnya.

Beliau turut mengajak semua pihak untuk terus memperbaharui komitmen terhadap visi bersama dan bersama-sama menjayakan IMT-GT. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79