Semangat Maulidur Rasul Landasan Bina Malaysia Bersatu Dan Makmur – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru umat Islam di seluruh negara menjadikan semangat Maulidur Rasul sebagai pedoman dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Menurut beliau, kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW membawa cahaya rahmat serta teladan agung yang wajar terus dijadikan panduan dalam membina Malaysia yang bersatu padu, aman dan makmur.

“Alhamdulillah, sambutan Maulidur Rasul tahun ini hadir seiring dengan Bulan Kemerdekaan Negara ke-68 dan Hari Malaysia. Nilai perjuangan Baginda SAW yang penuh tekad, penuh kesabaran dan penuh kasih sayang seharusnya menjadi panduan kita bersama,” katanya dalam hantaran sempena Maulidur Rasul 1447H.

Tambah beliau lagi, tema sambutan tahun ini, “Membangun Ummah Madani” mengajak seluruh umat untuk memperkukuh keimanan serta menguatkan perpaduan, kerana itulah asas sebenar bagi kemajuan bangsa dan kesejahteraan negara.

“Semoga semangat Maulidur Rasul ini membimbing kita untuk terus mencontohi sunnah Baginda SAW dalam kehidupan seharian, menyuburkan kasih sayang sesama insan serta menjadikan Malaysia terus cemerlang di mata dunia, Insya-Allah,” ujar beliau.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa nilai perjuangan Rasulullah SAW perlu diterapkan dalam usaha bersama membina masyarakat berakhlak, bangsa bermaruah dan negara yang diberkati. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79