RUU Bantuan Guaman & Pembelaan Awam 2025 Bukti Komitmen Kerajaan Untuk Rakyat – Azalina

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa hak khas atas pembelaan awam dan diterajui bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Perdana Menteri dan juga jabatan guaman dengan libat urus pelbagai pihak.

Demikian maklum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 di Dewan Negara hari ini.

“Inilah bukti bahawa Kerajaan Madani bukan sahaja berjanji tetapi lebih kepada ‘walk the talk’. RUU ini merupakan sebuah langkah penting dalam agenda reformasi institusi untuk menjamin akses keadilan bagi semua rakyat.

“Secara asasnya RUU ini membawa tiga pembaharuan besar iaitu memperluaskan skop guaman civil dan syariah. Jika sebelum ini hanya terhadap kes-kes tertentu maka RUU ini membolehkan banyak kategori civil dan syariah diliputi termasuk melibatkan hak-hak pekerja dan pelindungan pengguna serta beberapa perkara baharu dalam Mahkamah Syariah seperti pengesahan nasab, anak dan pengesahan nikah.

“RUU ini memperkenalkan satu kerangka khusus bagi pembelaan awam dalam kes jenayah. Sebelum ini perkhimatan ini tidak diwujudkan secara berasaskan undang-undang tapi hanya dialaskan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) sebagai yayasan yang ditubuhkan oleh kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menambah, dengan adanya akta ini maka rakyat yang berdepan dengan tuduhan jenayah dan tidak berkemampuan akan mempunyai akses khidmat awam yang di institusi dibawah Jabatan Guaman.

“RUU ini turut memperkenalkan penambahbaikan melalui penggunaan teknologi dan perkhidmatan secara dalam talian. Sebagai contoh khidmat nasihat guaman boleh diberikan di platform elektronik selaras dengan keperluan masa dan inspirasi kerajaan tentang penggunaan sistem digital.

“Pendekatan ini akan memudahkan rakyat dan menjimatkan kos dan masa serta meningkatkan keberkesanan penyampaian undang-undang,” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Pengerang itu, kelulusan tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan serta wakil rakyat dalam memastikan undang-undang yang digubal mengambil kira semua pandangan serta kepentingan rakyat.

“RUU ini telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Ogos 2025 selepas melalui perbahasan yang menyeluruh. Dalam perbahsan tersebut terdapat beberapa isu-isu penting yang telah dibangkitkan serta memperkuatkan lagi gubalan undang-undang ini,” ujarnya.

Seterusnya kata Ketua UMNO Bahagian Pengerang lagi, penetapan kadar fee RM10 bagi mendapatkan bantuan guaman bukanlah bertujuan untuk membebankan pemohon.

“Kadar fee hanya RM10 dan ianya adalah kadar yang amat membina dan tujuannya bukan hanya untuk membebankan tetapi menunjukkan komitmen pemohon agar nasihat guaman yang tidak dianggap remeh.

“Ia berfungsi sebagai mekanisme kawalan asas bagi mengelakkan sistem seperti contohnya pemohon hanya mahu mencuba-cuba tanpa pengetahuan sebenar. Bayaran kecil ini juga membantu menampung kos asas bantuan guaman seperti file dan penggunaan sumber pejabat,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79